RAMAI orang mengeluh di media sosial dan berdukacita dengan kejatuhan taraf Malaysia, berbanding negara-negara jiran dalam banyak lapangan. Ia tidaklah menghairankan, malah sudah dapat dijangka berikutan rampasan kuasa Langkah Sheraton pada... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI orang mengeluh di media sosial dan berdukacita dengan kejatuhan taraf Malaysia, berbanding negara-negara jiran dalam banyak lapangan. Ia tidaklah menghairankan, malah sudah dapat dijangka berikutan rampasan kuasa Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020.

Hari itu adalah hari Malaysia hilang status negara demokrasi di mata sebahagian besar dunia apabila kerajaan yang dipilih melalui peti undi dijatuhkan oleh konspirasi. Peristiwa itu sahaja sudah cukup mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan agensi penarafan antarabangsa sehingga mereka menurunkan taraf Malaysia dalam senarai mereka.

Itu belum mengambil kira kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi. Dalam keadaan di mana segala tenaga perlu ditujukan ke arah menangani krisis kesihatan global, kerajaan yang sah dijatuhkan.

Janji dan alasan kononnya rampasan kuasa adalah untuk menyelamatkan Malaysia terbukti palsu dan hambar apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menyekat penularan Covid-19, sebaliknya menyebabkan ekonomi jatuh merudum.

Malah, parti-parti yang berkonspirasi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal mengekalkan perpaduan sesama mereka.

Pada 9 Ogos 2021, seramai 14 ahli Dewan Rakyat UMNO daripada kluster mahkamah telah berkonspirasi menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin jatuh dan pada 20 Ogos, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Walaupun Ismail Sabri dan penyokongnya bersungguh-sungguh mahu meredakan gelora politik tetapi pencabar-pencabar beliau, khususnya kluster mahkamah terus menangguk di air keruh untuk kepentingan kedudukan mereka sendiri sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan di Melaka dan Johor.

Dengan mendakwa mereka membawa kemenangan di Melaka dan Johor, kluster berkenaan berjaya menangguhkan sekali lagi pemilihan UMNO dan menekan Ismail Sabri agar mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal.

Jika Ismail Sabri tidak berhati-hati, beliau akan masuk perangkap, kalah dalam pemilihan UMNO dan gagal menunaikan janji membawa kestabilan serta memulihkan ekonomi negara.

Ketika beliau cuba menumpukan perhatian kepada pentadbiran negara, kluster mahkamah dan pihak-pihak oportunistik dalam UMNO terus bermain politik dengan tujuan memaksa beliau mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan awal.

Mereka memikirkan kedudukan mereka sendiri sebagai orang yang sudah didapati bersalah dan dihukum atau sedang dibicarakan. Mereka tahu hanya kedudukan dalam UMNO dan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) yang memisahkan mereka daripada penjara.

Dalam suasana kita sedang mengambil langkah besar bermula Jumaat 1 April, untuk kembali semula kepada keadaan sebelum Covid-19, Perdana Menteri tidak boleh tunduk atau terbawa-bawa dengan 'politik desperado' kluster mahkamah dan kelompok oportunis dalam UMNO.

Kita belum terlepas daripada ancaman Covid-19, malah kita sedang mengambil risiko terperinci (calculated risk) melakukan langkah normalisasi ini.

Maka, eloklah Perdana Menteri dan kerajaan menumpukan perhatian kepada pemulihan negara daripada mengikut telunjuk dan nafsu kluster mahkamah serta pengikut mereka.

Perluasan pergerakan, pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan normalisasi kegiatan ekonomi, kemasyarakatan serta keagamaan meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan lebih ramai orang akan dijangkiti Covid-19, dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia, khususnya dalam kalangan yang sudah luput tempoh laku vaksin dan enggan mengambil suntikan penggalak.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca