APLIKASI MySejahtera dibelenggu dengan kontroversi agak meluas sejak kebelakangan ini sekali gus mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan rakyat jelata yang mempertikaikan keperluan penggunaan aplikasi itu ketika Malaysia sudah memasuki fasa endemik bermula 1 April.
Kontroversi melibatkan aplikasi MySejahtera ketika ini telah sampai ke Dewan Negara apabila Senator Muhammad Zahid Md Arip membentangkan satu usul pada 31 Mac lalu.
Usul itu meminta Dewan Negara membahaskan kontroversi berkaitan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia dalam MySejahtera susulan syarikat swasta MySJ Sdn Bhd dipilih untuk meneruskan pengurusan aplikasi itu.
Tambahan pula, individu penting dalam syarikat itu juga didakwa mempunyai hubungan dan kaitan secara langsung dengan syarikat KPISoft Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi berkenaan.
Justeru, demi tidak mewujudkan kekhuatiran dan kemarahan rakyat terhadap tampuk kepimpinan kerajaan semasa serta salah faham tentang data peribadi mereka boleh disalah guna, usul terbaharu itu harus disegerakan bagi menyelesaikan segala kesulitan.
Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban turut menyatakan kebimbangan bahawa data peribadi termasuk status kesihatan 38 juta pengguna aplikasi MySejahtera berada dalam zon bahaya berikutan pengendaliannya ditanggungjawabkan kepada syarikat swasta.
MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.
Pada masa sama, ia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan cepat dan berkesan dalam usaha memutuskan dan menangani penularan virus Covid-19.
Malaysia Nanban menjelaskan data peribadi pengguna aplikasi MySejahtera difahamkan memaparkan lokasi terkini seseorang berada, status kesihatan, media sosial dan sebagainya segala informasi mampu diperoleh melalui kemudahan itu.
Sementara itu, akhbar harian itu menjelaskan pembangunan dan pengendalian aplikasi MySejahtera ditanggungjawabkan kepada sebuah syarikat swasta berpangkalan di Singapura amat merisaukan serta jaminan keselamatan data peribadi rakyat jelata kini menjadi tanda tanya pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) tampil mengesyorkan keperluan penggunaan aplikasi MySejahtera dan amalan mengimbas kemudahan itu setiap kali memasuki mana-mana premis harus dihentikan.
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, Malaysia sudah bermula beralih ke fasa endemik sebaliknya rakyat turut diberi kesedaran tentang norma baharu di mana meneruskan kelangsungan hidup diselubungi jangkitan virus Covid-19 dengan kelengkapan vaksin.
Oleh sebab itu, adalah terbaik penggunaan aplikasi MySejahtera dihentikan di negara ini dan ia boleh ditukar wajah untuk kegunaan tujuan kesihatan alternatif pada masa depan.
Aplikasi MySejahtera telah dimanfaat setiap rakyat Malaysia daripada kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga warga emas dan sebanyak 70 peratus daripada populasi negara telah menggunakan aplikasi itu sejak April 2020.
MMA telah mencadangkan aplikasi MySejahtera boleh dijadikan sebagai rekod kesihatan peribadi. Bagaimanapun keselamatan data peribadi terkandung dalam aplikasi itu perlu dijaga rapi disebabkan timbul isu kontroversi MySejahtera yang merisaukan seluruh rakyat.Dengan ini, kerajaan dan KKM wajib mengorak langkah baharu bagi menawan kembali kepercayaan rakyat mengenai keselamatan data peribadi dalam aplikasi MySejahtera. Malaysia Nanban pula meminta kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melonggarkan SOP untuk tidak mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di tempat awam.
Justeru, penggunaan aplikasi MySejahtera juga boleh dihentikan secara berperingkat agar rakyat Malaysia dapat hidup lebih bebas dan selesa walaupun wabak Covid-19 masih ada.
*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Klik di sini untuk terus membaca