[WAWANCARA EKSKLUSIF] Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei depan akan menjadi pentas kepada rakyat untuk melihat siapa pemimpin pelapis seterusnya yang akan menerajui parti itu pada masa depan selepas berakhirnya kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebelum ini mungkin orang melihat bekas pemimpin utama parti itu seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Zuraida Kamaruddin akan menjadi tokoh pelapis untuk mengemudi parti.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Setiawangsa itu menegaskan, apabila pemimpin-pemimpin berkenaan bertindak meninggalkan parti, rakyat tertanya-tanya siapa pemimpin berkaliber yang akan menjadi pengganti.
Ikuti wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Nik Nazmi yang dikendalikan wartawan, Raiham Mohd Sanusi dan jurufoto, Mohd Halim Abdul Wahid di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Selepas beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), bagaimana Yang Berhormat (YB) menilai prestasi PKR pada masa ini?
NIK NAZMI: Prestasi kita masih banyak yang boleh diperbaiki. Kalau tengok (dalam PRN) di Sabah, kita cuma menang beberapa kerusi. Kemudian di Melaka kita tidak ada (menang) kerusi langsung dalam PRN. Begitu juga di Sarawak dan Johor, kita pulang dengan hanya satu kerusi.
Jadi sebagai sebuah parti yang sebelum ini memainkan peranan besar di dalam kerajaan Persekutuan dan kita juga pernah duduk dalam kerajaan negeri di Sabah, Melaka dan Johor tentulah ini bukan prestasi yang kita inginkan.
Pada PRN Johor, undi yang diterima parti-parti pembangkang dilihat boleh menggugat UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi sayangnya ia terpecah. Apa yang perlu dilakukan dalam hal ini?
Bagi saya kalau bercakap tentang PKR secara spesifik, apa-apa pun kena balik untuk kukuhkan parti kita. Itu perkara asas. Jadi betul kalau kita tengok Pakatan Harapan (PH) terutamanya tapi bila kita gabungkan dengan Perikatan Nasional (PN) iaitu undi yang diperoleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, kita boleh tengok keputusan (jumlah undian) gabungan itu lebih tinggi daripada yang diterima UMNO atau BN.
Cuma kita kena hati-hati. Sebab pertamanya, kita kena pastikan dalam apa jua gandingan atau pendekatan yang kita nak ambil, PKR kena berada di depan atau PKR kena ada asasnya. Kedua, saya fikir dalam PH, ini satu gandingan yang sebenarnya kalau kita lihat betul-betul, ia lahir daripada kerjasama pada tahun 1998 dan 1999 iaitu semasa Reformasi. Sebahagian daripada pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) pada hari ini, ada di dalam Pas ketika itu, DAP dan PKR.
Tetapi kalau kita ingin bercakap tentang parti-parti lain yang mana idealisme mereka jauh dengan kita misalnya Bersatu, kita takut apa yang berlaku pada 2018 apabila kita mentadbir, kita dapat lihat perbezaan itu. Kedua, kita khuatir kalau ada sebarang kerjasama mutlak sebelum pilihan raya maka penyokong-penyokong kita rasa tidak mahu keluar sebab dalam Bersatu juga ada Tan Sri Muhyiddin Yassin malah (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali.
Sebab itu bagi saya kalau dalam PRN Johor itu kita rangkum semua undi memang nampak banyak. Tapi kalau contohnya sebelum pilihan raya, kita pergi dengan Bersatu adakah pengundi kita akan semuanya terima? Ini adalah persoalan-persoalan yang perlu dijawab dan saya fikir lebih mudah untuk kita bercakap soal kita perkukuhkan parti dan PH. Selepas pilihan raya itu cerita lain tapi sebelum pilihan raya, kita kena fokus kepada gandingan yang jelas dan mudah difahami oleh rakyat.
Ada cakap-cakap mengatakan kepimpinan PKR terutama Presiden parti perlu berubah. Pada masa ini adakah PKR mempunyai calon yang baik bagi menggantikan Anwar atau beliau perlu kekal lagi untuk beberapa penggal mengemudi parti?
Saya fikir bagi pemilihan kali ini tidak timbul soal kedudukan Presiden. Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sendiri menjelaskan bahawa Anwar adalah individu terbaik sebagai alternatif kepada calon-calon Perdana Menteri yang lain atau Perdana Menteri yang ada pada hari ini.
Tetapi bagi saya yang penting orang nak melihat ke depan dan mungkin kita sedikit terlupa namun 10 tahun lepas, PKR antara parti yang ke depan di dalam menonjolkan anak-anak muda dalam barisan kepimpinan parti.
Sebab itu kita merasakan kembalinya Rafizi (untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR) akan mampu untuk memberi suntikan atau nafas baharu kepada parti dan untuk memastikan orang ramai dapat melihat kesinambungan kepimpinan yang ada dalam parti.
Kita ada ramai bakat-bakat. Antaranya tentulah Anwar, Rafizi, Nurul Izzah Anwar dan ramai lagi.
Selepas siri perpecahan dalam PKR sebelum ini, pada pandangan YB adakah masih ada lagi yang berpuak-puak dan berhaluan kiri atau saf dalam parti berjaya dirapatkan?
PKR ini sememangnya sosoknya dianggap berhaluan kiri sedikit. Tapi kalau disebut soal pandangan atau kabilah, sedikit sebanyak itu akan wujud dalam mana-mana parti. Cuma dalam PKR ini saya tahu ada sedikit sifat terbuka dalam perkara ini.
Pemilihan parti merupakan satu bentuk demokrasi yang diamalkan tetapi kesannya ada terutama dalam soal hubungan. Bagaimana YB melihatnya?Saya harapkan apa-apa pertandingan dan sebagainya perlu dibuat dalam suasana keluarga satu parti. Saya tidak fikir rakyat ada masa untuk melihat kita melalui episod-episod perpecahan seperti dahulu. Jadi kalau diambil pendekatan itu saya yakin kita dapat lihat pertandingan kali ini akan dapat dibuat lebih sihat berbanding sebelum ini.
Apa keistimewaan pemilihan kali ini sebab difahamkan ada pengundian secara dalam talian?
Dari segi sistem, kali ini akan ada pemilihan offline dan online. Offline macam dahulu iaitu kaedah pengundian dengan pergi ke tempat mengundi, ada tablet atau komputer riba untuk anggota membuat pengundian tapi pada masa sama ada juga pengundian secara online menerusi telefon bimbit masing-masing.
Bagi saya ini adalah ‘jalan’ masa depan. Mungkin suatu hari nanti pilihan raya pun akan berlangsung dalam keadaan tersebut. Tetapi lebih penting saya berbalik kepada soal awal iaitu ramai mahu melihat siapa pemimpin next dalam PKR.
Kalau dahulu mungkin orang nampak Mohamed Azmin, Khalid Ibrahim dan Zuraida. Jadi bila sebahagian daripada mereka telah tinggalkan parti, ramai yang tertanya-tanya apa ‘jalan ke depan’ parti. Jadi kita merasakan bahawa kembalinya Rafizi adalah suatu perkara yang positif untuk memberi keyakinan kepada rakyat untuk memilih PKR.
Untuk jawatan Timbalan Presiden, setakat ini difahamkan terdapat tiga nama besar yang disebut-sebut akan bertanding termasuk Rafizi. Adakah pertandingan banyak penjuru sebegini sesuatu perkara yang sihat untuk parti?
Kita bukan UMNO jadi kalau ada usaha untuk elak ramai bertanding saya tidak setuju. Malah untuk jawatan Presiden pun, sekiranya ada yang rasa nak bertanding, itu hak mereka walaupun saya merasakan Anwar adalah orang yang paling sesuai untuk jawatan tersebut.
Bagi saya tidak kisah tiga atau empat penjuru pun. Kalau adab pertandingan itu diikuti maka ia tidak akan menjadi satu isu yang membebankan untuk parti kita. Masalahnya kalau adab itu tidak dijaga atau ada anasir-anasir yang tidak sihat sebab rakyat akan menilai kita.
YB sendiri telah mengumumkan mahu bertanding jawatan Naib Presiden. Jadi adakah YB bersedia untuk berdepan saingan banyak penjuru?
Ya saya bersedia. Jawatan Naib Presiden ada empat yang akan dipillih. Kebiasaannya memang ramai yang masuk (bertanding untuk jawatan tersebut). Bagi saya yang paling penting adalah (pertandingan itu) membolehkan kita mengutarakan hujah.
Pertandingan ini bukan soal memilih individu tetapi soal mengutarakan hujah dan sebagainya. Kalau dalam soal itu ia dapat dilaksanakan, saya yakin situasi pemilihan masih lagi sihat dan positif.
Apakah harapan YB terhadap anggota parti yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam Pemilihan PKR 2022 nanti?
Saya fikir yang terpenting ialah mereka kena memilih untuk generasi yang akan datang. Itu yang paling penting sebab kita kena ingat bahawa dalam situasi di Johor pun undi-undi automatik atau Undi18 telah pun masuk. Dalam keadaan itu kita kena ada barisan kepimpinan yang relevan dengan anak-anak muda ini.
Sebelum ini Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa belia wajar diasuh, dididik, dibimbing dan diberikan kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab lebih besar dalam agenda membina negara. Apa komen YB?
Saya setuju kerana kadang-kadang dalam parti politik pun anak muda ini sering dilayan afterthought maknanya dah lepas perkiraan semua benda baharu teringat tentang anak muda. Kita juga tahu bahawa kita nak tonjolkan lebih ramai anak muda dalam parti dan sebagainya. Kalau ada anak muda mahu masuk ke dalam parti kita juga kena pastikan mereka benar-benar layak.
Jadi sebab itu saya rasa kena ada mekanisme untuk kita tarik golongan profesional muda dan anggota kesatuan sekerja supaya mereka dapat menggilap potensi mereka dan kemudian mendapat tempat dalam pemilihan calon.
Rafizi sebelum ini ada menyebut bahawa beliau lakukan comeback dalam politik untuk memperbaiki parti. Jadi pada pandangan YB usaha beliau memperbaiki parti berkenaan dari sudut mana?
Bagi saya Rafizi mahu memperbaiki parti mungkin dari segi kemahuan rakyat dan orang ramai yang inginkan satu suara yang sangat konsisten. Rakyat ingin suara yang berani. Ini kerana tak ramai yang dapat mencapai apa yang Rafizi sebutkan. Permintaan yang tinggi tersebut yang saya fikir mungkin menyebabkan ada keperluan untuk barisan kepimpinan diisi oleh individu-individu yang berani dan tidak takut pada sesiapa.
Klik di sini untuk terus membaca