SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membawa masuk sebuah parti mewakili orang Melayu/Islam seperti Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menarik sokongan pengundi dari kaum Bumiputera/Melayu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau memang tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa PH perlukan sebuah parti Melayu seperti Bersatu untuk menarik sokongan orang Melayu/Bumiputera dalam PRU15 nanti.
"Saya berpandangan isu berkenaan timbul kerana ada perbezaan pendapat antara generasi tua dan muda dalam PH. Saya melihat sebahagian besar pengundi berkemungkinan menyokong PH adalah mereka meletakkan soal ekonomi dan kehidupan harian terutama kos sara hidup bukan soal pengundi yang membuat pertimbangan paling atas adalah Melayu/Islam atau tidak?
"Ini kerana pengundi yang memikirkan soal kepentingan Melayu dan Islam dahulu berbanding perkara lain sudah pasti akan mengundi UMNO atau Pas. Bagaimanapun, ramai pengundi atas pagar berkemungkinan akan mempertimbangkan untuk nak undi PH dan PKR atau tidak selepas melihat tawaran yang boleh kita berikan.
"Kalau kami undi PH-PKR apa yang anda boleh lakukan. Sebab itu saya dan Izzah (Nurul Izzah Anwar) berpandangan PH-PKR perlu kembali ke kerangka dasar sebelum 2018. Sebab itulah kita di Invoke tidak berhenti melakukan pelbagai kajian untuk pelanggan terutama pandangan rakyat mengenai ekonomi dan keduanya kaum," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Sinar Premium.
Malah, Rafizi berkata, kajian Invoke dari 2016 hingga sekarang, mendapati secara purata antara 60 hingga 70 peratus pengundi ditemui mengatakan keadaan ekonomi adalah amat penting dan menjadi pertimbangan utama mereka untuk membuat keputusan pada PRU berbanding soal kaum atau agama.
Beliau berkata, pengundi yang meletakkan pertimbangan untuk mengundi berdasarkan kaum Melayu adalah di sekitar sembilan peratus sahaja.
"Masalahnya ialah walaupun pengundi atas pagar mahu melihat bukan memilih berdasarkan kaum, namun mereka mahu melihat apa dasar yang bakal dilaksanakan oleh PH dan PKR jika kita kembali berkuasa nanti. Kalau kita tidak berjaya meyakinkan maka mereka akan undi UMNO atau Pas kerana mereka ialah pengundi Melayu.
"Itulah yang berlaku di Johor, bukan kerana UMNO kuat, mereka sudah tahu corak pemerintahan UMNO, apa tawaran PH dan PN. Ia umpama kita nak beli barang, mestilah ada tarikan cukup baik untuk kita memilih sesuatu jenama baharu, kalau tidak mereka akan membeli produk jenama sedia ada.
"Ini adalah gambaran mengenai situasi sebenar dihadapi pengundi terbesar di negara ini. Mereka yang suka pasal agama sudah pasti mereka akan undi Pas manakala individu membuat keputusan berdasarkan kaum Melayu mereka mesti memilih UMNO. Sebenarnya pengundi mahu kita mendengar masalah dan luahan hati mereka, jadi saya tidak nampak kita perlu seorang tokoh atau terlalu menumpukan siapa boleh menarik minat pengundi.
"Kita hanya perlu membentangkan bagaimana PH dan PKR boleh membantu mempermudahkan kehidupan mereka dan pengundi Melayu paling banyak terjejas akibat kenaikan kos sara hidup, gaji dan sebagainya. Kalau kita fokus kepada penyelesaian saya percaya pengundi lain akan tertarik," katanya.
Dalam pada itu Rafizi juga mengakui bahawa kestabilan politik adalah suatu nilai tambah dan mendorong pengundi baharu untuk menyokong gabungan parti politik sama ada BN atau pun PH.
"Bagaimanapun, apabila nampak terlalu berkecamuk maka ia akan menolak pengundi kerana mereka melihat PH ini tiada kerja lain ke asyik berebut kuasa sesama sendiri. Itulah yang berlaku kepada PH sejak kebelakangan ini, jadi memang suah kita nak tarik pengundi baharu atau atas pagar. Mereka berasa lesu, bosan dan menyampah dengan pemimpin PH asyik berkecamuk dan tidak boleh berbincang serta sering bergaduh sesama sendiri.
"Kita kena jaga pengundi atas pagar yang mengundi PH dalam PRU14 lalu supaya tidak bosan dan lari. Oleh itu bagi saya soal kestabilan, persamaan dan timbang rasa amat penting untuk memperkukuhkan blok pengundi PH sedia ada.
"Kalau pun tindakan berkenaan tidak boleh membantu PH meningkatkan undi daripada pengundi baharu tetapi sekurang-kurangnya mampu mengekalkan undi sedia ada," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca