SHAH ALAM - Pertembungan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam pemilihan parti bulan depan bakal menentukan hala tuju PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ini kerana kumpulan pro Saifuddin lebih berminat dengan dasar pembentukan 'khemah besar' atau gabungan parti politik dalam Pakatan Harapan (PH) bersama pihak lain termasuk Perikatan Nasional (PN), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi menewaskan Barisan Nasional/UMNO.
Sementara itu, kumpulan diketuai oleh Rafizi dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pula menolak idea pembentukan khemah besar.
Ini kerana mereka berpandangan tanpa khemah besar pun PH yang dianggotai oleh PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP masih mampu meraih kemenangan dalam PRU15 dengan syarat mereka mestilah berjaya meraih kembali kepercayaan rakyat terutamanya lebih 12 juta pengundi di atas pagar.
Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, perlawanan antara beliau dan Saifuddin sebenarnya adalah soal perbezaan pandangan mengenai strategi PKR dan PH untuk menang PRU15 nanti.
Beliau berpandangan bahawa PKR dan PH perlu menggunakan pendekatan dan strategi baharu untuk menarik kembali kepercayaan dan sokongan rakyat dan pengundi kepada gabungan pembangkang.
"Saya berpandangan PKR perlu berkempen seperti ini (memahami denyut nadi dan masalah rakyat). Cukuplah kita mengatur kerajaan dalam kalangan parti politik sahaja kerana ia tidak disukai oleh rakyat di luar sana.
"Manakala, Saifuddin pula berpandangan berdasarkan keputusan PRN sebelum ini adalah lebih baik ada kesatuan di mana PKR dan PH dapat bergabung dengan parti lain di bawah khemah besar untuk menewaskan UMNO dalam PRU15 akan datang.
"Ini bukan soal peribadi tetapi pandangan pendapat mengenai macam mana cara terbaik untuk memenangi hati rakyat," katanya dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Sinar Premium.
ANWAR BERKECUALI
Bagaimanapun, Rafizi berkata, beliau tidak pasti sama ada isu keperluan membentuk khemah besar dan kembali kepada matlamat perjuangan parti atau rakyat akan dibincangkan dan diputuskan secara tuntas dalam mesyuarat agung PKR nanti.
"Saya tidak pasti mengenai perkara itu kerana tiada gerakan ke arah berkenaan. Ini berbeza dengan UMNO di mana adakalanya mereka menyusun gerakan untuk menjayakan sesuatu usul. Saya juga tidak mengikuti secara dekat mesyuarat agung cabang PKR setiap tahun namun ada sesetengah cabang ada mengemukakan usul supaya jangan bekerjasama dengan PN dan Pejuang.
"Namun pertembungan Saifuddin dan saya kali ini adalah soal strategi untuk kita masuk PRU15 iaitu pembentukan khemah besar dan satu lagi seperti dicadangkan oleh saya dan Izzah iaitu berkempen dan kembali meneliti masalah dihadapi oleh rakyat.
"Kalau anggota parti memilih PKR dan PH perlu menyertai khemah besar bersama parti pembangkang lain untuk menang PRU15, saya akan menerimannya secara terbuka. Saya berharap mereka yang berminat menyertai gagasan khemah besar dapat melakukan yang terbaik untuk memperoleh keputusan terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi memuji sikap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil pendirian berkecuali dalam pemilihan parti itu, bulan depan.
"Itu terserahlah kepada kebijaksanaan Presiden untuk berbuat demikian dan menghadam pandangan, suara dan pilihan dibuat oleh perwakilan dan ahli PKR pada mesyuarat agung nanti. Kalau kita menjadi Presiden parti jika ada pertembungan begini di mana kedua-dua pihak mempunyai matlamat membantu parti dalam PRU15.
"Sebab itulah saya nampak Presiden PKR begitu berhati-hati dan tidak menunjukkan isyarat bahawa beliau menyokong kem saya mahupun kumpulan Saifuddin. Jadi akhirnya terserah kepada anggota parti di peringkat akar umbi untuk memberi mandat untuk memilih siapapun antara saya dan Saifuddin," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca