KUALA LUMPUR - Suasana di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kelihatan sesak dengan orang ramai yang membeli tiket untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Ramadan bersama keluarga masing-masing.
Namun, terdapat keluhan daripada penumpang apabila harga tiket perjalanan sesetengah syarikat perkhidmatan bas ekspres menunjukkan peningkatan di luar tempoh dibenarkan.
Seorang penuntut di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Muhammad Muaz Muhammad Zuhir, 20, mengakui terkejut dengan kenaikan harga tiket perjalanan dari Terminal Bas Kuala Kangsar menuju ke Johor Bahru yang mencecah harga RM85 bagi seorang penumpang.
"Kali terakhir saya balik kampung (Johor Bahru) adalah pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor (10 Mac) dengan harga tiket RM65 tetapi syarikat bas yang sama. Jauh beza dengan harga tiket sekarang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Susulan kenaikan harga itu, Muhammad Muaz akhirnya mengambil keputusan untuk menunggang motosikal dari Kuala Kangsar, Perak ke TBS bersama tiga lagi rakannya.
"Tiket dari TBS ke Johor Bahru RM24, minyak motor pun hanya perlu isi RM12 sahaja untuk sampai ke sini,” ujarnya.
Seorang penumpang yang merupakan peniaga makanan, Siti Nur Fadillah Mohd Fadhil, 24, mengakui berlaku kenaikan harga sebanyak RM2 bagi tiket perjalanan dari TBS ke Terminal Bas Alor Gajah Sentral, Melaka.
"Memang harga tiket ada naik sikit berbanding biasa, Januari lepas saya beli tiket dengan harga RM11, tetapi kali ini naik RM13.Kawan-kawan terutamanya yang ingin pulang ke Pantai Timur ramai mengeluh sebab harga tiket mula naik.
"Sudah dua tahun berturut- turut saya menyambut Ramadan di ibu kota akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi harapnya janganlah mereka (syarikat bas) naikkan harga dengan melampau pula menjelang Aidilfitri nanti,” katanya.
Bagi Nur Aqilah Atika Razali, 19, pula, tiket bas perjalanan menuju ke Terminal Bas Larkin Sentral yang dibelinya juga naik sebanyak RM2 berbanding harga sebelum ini.
"Sebelum bulan puasa ini, saya beli tiket bas ke Larkin berharga RM28, tapi kali ini saya tengok dah naik harga RM30,” ujarnya.
Menurut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Aiman Amiruddin, 20, tiket perjalanan dari TBS ke Ipoh, Perak juga naik dari RM23 menjadi RM25 oleh syarikat bas yang sama.
"Saya memang dah biasa dan selesa dengan syarikat bas berkenaan, jadi saya memang akan tetap naik bas yang sama, cuma harga kali ini naik sikitlah.
"Kawan-kawan yang nak balik ke Johor dan Kelantan misalnya, juga beritahu harga tiket mereka juga naik. Sebab itu, saya sudah beli tiket bas untuk pulang hari raya nanti, untuk elakkan harga naik lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Hakimi Irfan Abd Ghani, 37, berkata, dia sememangnya sudah sedia maklum pasti akan berlaku kenaikan harga tiket bas terutamanya menjelang perayaan.
"Saya memang dah biasa naik bas balik ke kampung di Tumpat, Kelantan. Apatah lagi, sekarang rakyat sudah mula bebas bergerak ke mana-mana, jadi saya memang sudah jangkakan perkara ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca