JOHOR BAHRU - Ramadan kali ini, sangat bermakna buat warga Malaysia yang bekerja di Singapura apabila pertama kalinya mereka dapat menjalani ibadah puasa di tanah air selepas sempadan kedua-dua negara dibuka semula pada Jumaat lalu. Bagi... Klik di sini untuk terus membaca

JOHOR BAHRU - Ramadan kali ini, sangat bermakna buat warga Malaysia yang bekerja di Singapura apabila pertama kalinya mereka dapat menjalani ibadah puasa di tanah air selepas sempadan kedua-dua negara dibuka semula pada Jumaat lalu.

Bagi pekerja Malaysia yang berasal dari Johor, sudah pasti Ramadan kali ini cukup istimewa kerana dapat bersama keluarga ketika bersahur dan berbuka.

Bagi perantau yang kebanyakannya dari Kelantan dan Terengganu pula kerinduan terubat dengan pelbagai juadah tradisi negeri-negeri masing seperti kuih akok dan nasi dagang yang dapat dibeli di bazar Ramadan sekitar Johor Bahru.

Pekerja am Mohd Asyraf Azizan, 26, berkata, apa yang dirindukan sepanjang dua tahun berada di Singapura adalah menyambut Ramadan bersama ibu, ayah dan adik-beradik yang tinggal di Taman Daya di sini.

Dia juga mengakui tidak sabar merasai menu air tangan ibunya, Fadilah Hasan, 48, iaitu ayam sambal, rendang minangkabau dan ayam masak lemak cili api.

"Saya pulang menaiki motosikal dan merentas sempadan di Tambak Johor sebagai kumpulan pertama sebaik sahaja sempadan kedua-dua negara dibuka pada 12 tengah malam, Jumaat.

"Kepulangan saya menjadi kejutan untuk keluarga memandangkan sudah dua tahun saya berpuasa dan beraya di Singapura.

"Saya cium peluk ayah dan ibu dan kemudian saya bawa mereka ke sebuah restoran di sekitar bandar raya Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Asyraf (tengah) bersama ahli keluarganya makan bersama di sebuah restoran sehari sebelum Ramadan.

Bagaimanapun Mohd Asyraf yang sudah bekerja selama lima tahun di Singapura akan kembali ke republik itu pada Selasa dan perlu ke Jabatan Imigresen di Setia Tropika pada Isnin untuk memperbaharui pasportnya yang sudah tamat tempoh.

Katanya, pembukaan semula sempadan negara yang menyaksikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di mana tidak perlu lagi menjalani kuarantin tujuh hari bermula sekali gus membolehkan ramai rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda.

"Apa pun saya perlu bekerja cari rezeki di Singapura. Pembukaan sempadan beri rahmat kepada saya dan keluarga kerana kami dapat bertemu semula.

"Saya mempunyai lebih masa bersama keluarga untuk bersahur dan berbuka bersama kerana sudah dapat berulang alik semula dari rumah ke Singapura,” katanya.

KEKANGAN CUTI

Lain pula dengan pekerja pembersihan, Farizatul Firdaus Ahmad yang berasal dari Tanah Merah Kelantan itu, apabila memilih untuk pulang ke kampung halaman menjelang Hari Raya Aidiladha kelak.

FARIZATUL FIRDAUS

Jelas Farizatul Firdaus, 31, meskipun tidak dapat pulang ke Kelantan pada Ramadan kerana kekangan cuti, namun tetap dia bersyukur kerana dapat kembali ke Malaysia dan berpuasa di Johor.

"Bagi perantau seperti saya ini, walaupun tidak dapat pulang ke Kelantan tetapi tetap gembira dengan pembukaan sempadan sebab dapat berpuasa di tanah air.

"Kuih di sini berbeza dengan Singapura, sudah tentu saya akan cari kuih akok di bazar Ramadan dekat Johor Bahru.

"Alhamdulilah, ibu dan ayah serta keluarga di Kelantan selalu berhubung dengan saya sepanjang dua tahun sempadan ditutup,” katanya.

Dia yang sudah bekerja selama lima tahun di Tampines, Singapura kini berulang alik setiap hari menaiki motosikal ke republik itu dari rumah sewanya di Johor Bahru.

Pemuda yang berasal dari Kemaman Terengganu, Ahmad Samion Ismail, 35, pula teruja untuk merasai suasana Ramadan di Johor memandangkan tidak dapat pulang ke kampung halamannya.

AHMAD SAMION

"Saya pulang ke Johor pada awal pagi Jumaat menaiki motosikal dari Clementi Singapura melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura. Saya menyewa bilik di Gelang Patah sejak bekerja di Singapura pada tahun 2019.

"Saya amat rindukan suasana berpuasa di tanah air sendiri kerana suasananya berbeza di Singapura. Sudah pasti di bazar Ramadan saya akan cari menu tradisi Terengganu iaitu nasi dagang,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca