SHAH ALAM - Kenaikan harga tiket bas ekspres sebanyak 10 peratus pada musim perayaan telah dilakukan sejak 10 tahun lalu dan mendapat kebenaran daripada kerajaan. Pengarah Bahagian Bas Ekspres, Bahagian Pengangkutan Awam Jalan, Zaid Mubin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenaikan harga tiket bas ekspres sebanyak 10 peratus pada musim perayaan telah dilakukan sejak 10 tahun lalu dan mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Pengarah Bahagian Bas Ekspres, Bahagian Pengangkutan Awam Jalan, Zaid Mubin berkata, pada tahun ini, kenaikan tersebut telah ditetapkan selama 12 hari bermula pada 29 April sehingga 8 Mei.

"Untuk raya ini, sejak 10 tahun lepas memang ada tarikh tertentu yang kita dibenarkan untuk naikkan harga dengan kadar 10 peratus daripada jumlah biasa.

"Pengusaha boleh naikkan dalam tempoh 12 hari sahaja. Tahun ini kita bermula dari 29 April sehingga 8 Mei. tarikh ini sahaja yang boleh dinaikkan harga.

"Untuk tarikh sekarang ini (sebelum 29 April), masih tiada kenaikan. Cuma kalau tiket dijual untuk tarikh yang ditetapkan, memang akan naik harga,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam masa sama, beliau berkata, kenaikan tersebut terpaksa dilakukan bagi mengelakkan syarikat pengendali menanggung kerugian yang banyak.

"Sebab hari raya ini bas akan dapat pelanggan secara sehala sahaja. Contohnya kita dari Kuala Lumpur, nak balik ke kampung, bas jadi penuh. Tetapi bila patah balik ke Kuala Lumpur, bas jadi kosong. Tiada pelanggan.

"Oleh kerana itu, kerajaan ambil satu inisiatif untuk kurangkan kerugian waktu balik, mereka naikkan kadar tambang 10 peratus. Maksudnya, ia bukan sesuka hati.

"Namun, ia hanya sah untuk tarikh yang ditetapkan iaitu sebelum raya dan juga selepas raya. Waktu lain memang tiada kenaikan,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa permintaan bas semasa perayaan mendapat sambutan tinggi sehingga terpaksa menggunakan perkhidmatan bas yang lain.

"Untuk raya ini juga kita ada bas tambahan iaitu bas sekolah dan persiaran yang akan minta lesen sementara. Raya ini memang kebiasaannya tidak cukup bas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, kenaikan ini hanya bersifat sementara contohnya kalau tiket normal harga RM45 dengan kenaikan 10 peratus akan menjadi RM49 sahaja.

Mengenai persediaan musim perayaan kali ini beliau berkata, sebanyak 750 bas ahlinya bersedia untuk berkhidmat seluruh negara.

"Kita anggarkan seramai kira-kira sejuta penumpang akan menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung memandangkan dua tahun rakyat tidak dapat beraya di kampung kerana Covid-19,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca