MADRID - Marta Ortega Perez kini bergelar wanita paling berkuasa di dunia dalam sektor pakaian sedia dipakai setelah beliau mewarisi syarikat induk Zara, Inditex bernilai berbilion dolar yang diasaskan bapanya, Amancio Ortega yang berpusat di Sepanyol.
Wanita yang berperwatakan pendiam, merendah diri dan bijak berusia 38 tahun itu telah sekian lama dijangka mengambil alih empayar peruncit fesyen terbesar di dunia itu yang mempunyai kira-kira 6,500 kedai di seluruh dunia sekali gus mengatasi jenama terkenal H&M dari Sweden.
Pada November lalu, Inditex mengumumkan Marta bakal menggantikan Pablo Isla yang telah menyelia pengembangan syarikat itu secara besar-besaran sejak sedekad lalu.
Marta bukan sahaja memegang jawatan sebagai pengerusi bukan eksekutif malah akan menguruskan strategi komunikasi syarikat dan badan audit dalaman selain terus terlibat dengan urusan produk fesyen di Zara yang menjana 70 peratus daripada hasil pendapatan Inditex.
Pengambilalihan itu dikatakan telah dirancang bapanya sendiri yang mengasaskan Inditex pada 1985 dan meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada 2011, namun masih memegang 59 peratus pegangan saham syarikat itu yang menjadikannya sebagai salah seorang individu terkaya di dunia.
"Kami sudah lama merancang proses peralihan itu. Marta telah bersama syarikat ini selama 15 tahun. Beliau telah mengetuai banyak projek dan tahu selok-belok empayar perniagaan ini,” jelas Isla ketika mengumumkan pengundurannya.
Sementara itu, penganalisis di perkhidmatan kewangan berpusat di Paris, Societe Generale, Anne Critchlow berpendapat ia adalah proses yang biasa apabila seorang bapa menyerahkan empayar perniagaan kepada anaknya dengan cara seperti ini.
"Masanya sudah tiba dan beliau sebenarnya terlibat secara aktif dalam perniagaan itu tanpa kita sedari. Marta sentiasa berada di bawah ‘radar’ bapanya,” ujarnya.
JADI PEMBANTU KEDAI
Marta merupakan puteri tunggal daripada hasil perkahwinan kedua Ortega bersama Flora Perez dan dibesarkan di pelabuhan La Coruna di barat laut Madrid bersama adik beradik tirinya, Sandra dan Marcos.
Selepas menghadiri sekolah berasrama penuh di Switzerland dan menamatkan pengajian di European Business School di London pada 2007, wanita itu kemudiannya bekerja sebagai pembantu cawangan Zara di London untuk lebih memahami bagaimana ia beroperasi.
"Pada minggu pertama, saya pernah terfikir tidak akan dapat bertahan dengan kerja itu. Tetapi, segalanya berubah apabila saya mula ‘ketagih’ dengan kedai itu,” ujar Marta menerusi wawancara bersama Wall Street Journal (WSJ) pada Ogos 2021.
Pada mulanya, beliau tidak mendedahkan identitinya sebagai anak kepada pemilik Inditex, namun rahsia itu akhirnya terbongkar apabila rakan sekerjanya terlihat jam tangan jenama mewah Rolex yang dipakai olehnya.
Wanita yang gemar aktiviti menunggang kuda dan pernah bertanding dalam acara lompat berkuda itu kemudiannya bekerja di ibu pejabat Inditex di Galicia dan bertanggungjawab menaikkan imej jenama Zara.
"Beliau menjalinkan banyak hubungan dengan dunia fesyen,” kata Profesor di Esade Business School, Alfred Vernis yang juga bekas eksekutif Inditex.
Dengan susuk tubuh langsing dan berambut perang, maka tidak hairanlah Marta sering menjadi jemputan penting mana-mana pertunjukan fesyen dan duduk sebaris dengan ikon fesyen seperti Editor majalah Vogue, Anna Wintour.
DIPUJI BANYAK PIHAK
Di bawah pengawasannya, Zara membangunkan kempen dengan beberapa orang kreatif paling terkenal dan juga dipuji banyak pihak kerana membantu untuk membezakan imej Zara dengan pesaingnya dengan membuka kedai di kawasan jalanan yang didominasi butik berjenama.
Ketika pengumuman tentang pelantikannya sebagai pengerusi, ada pihak yang mempersoalkan kelayakannya kerana mendakwa wanita itu kurang berpengalaman dalam pengurusan hingga menyebabkan saham Inditex jatuh pada November lalu, namun kebimbangan itu beransur reda.
"Marta sememangnya sudah bersedia dan memahami dengan lebih baik tentang operasi syarikat itu,” jelas Vernis lagi.
Menurutnya, Ketua Pengarah Eksekutif, Oscar Garcia Maceiras masih menjadi individu yang akan membuat keputusan eksekutif walaupun Marta juga mempunyai peranan penting yang sama.
Wanita itu menyambung legasi perniagaan bapanya, ketika ekonomi berdepan ketidaktentuan akibat krisis Rusia-Ukraine yang turut menyaksikan Inditex menutup operasi 502 kedai mereka di Moscow.
Sebagai Pengerusi Inditex, Marta akan meraih pendapatan 1 juta euro (RM4.7 juta) setahun yang turut memiliki jenama lain termasuk Massimo Dutti, Bershka dan Stradivarius.
Wanita ini juga tidak gemar kisah peribadinya disensasikan, namun gambar perkahwinan keduanya bersama Carlos Torretta yang berlangsung dengan mewah telah tersebar secara meluas dalam majalah selebriti.
Pada 2020, pasangan itu dikurniakan puteri tunggal selain mempunyai seorang anak lelaki bersama bekas suaminya, Sergio Alvarez Moya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca