SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas sesi cabar mencabar berlarutan selama dua hari.Malah, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendedikasi... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas sesi cabar mencabar berlarutan selama dua hari.

Malah, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendedikasi serangkap pantun pendekar Melayu kepada Ahli Parlimen Pekan berkenaan.

Berdasarkan petikan pantun itu, Anwar mengakui beliau tidak sedikit pun takut untuk tampil berdebat, malah mencabar Najib untuk turun ke gelanggang.

Pantun tersebut berbunyi:

Tuan Puteri pergi ke Lukut,

Bawa pulang kacang panjang,

Sedikit pun hamba tak takut,

Kalau berani turun gelanggang.


Tambah Anwar lagi, Najib memilih mencabar beliau pada bulan Ramadan selepas gagal menjawab sanggahan dibuat oleh bekas Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai krisis bailout syarikat gergasi Sapura Energy.

"Saya ambil maklum lontaran cabaran debat daripada mantan Perdana Menteri, Najib.

"Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Najib," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Malah kata Anwar, beliau sebenarnya sudah pernah mencabar Najib untuk berdebat sejak lebih 10 tahun lalu, namun cabaran itu tidak pernah disambut.

Dalam pada itu, sejak beberapa minggu lalu, politik negara dipanaskan dengan 'perdebatan media sosial' antara Rafizi dan Najib mengenai isu bailout Sapura Energy.

RAFIZI


Rafizi menyanggah cadangan Najib yang mencadangkan kerajaan membantu menyelamatkan Sapura Energy yang berdepan kerugian berbilion ringgit.

Sinar Premium turut menyiarkan laporan khas mengenai isu dengan penganalisis ekonomi turut mempunyai pendapat yang bercampur-campur mengenai langkah bailout itu.

https://premium.sinarharian.com.my/article/190158/mediasi-kritis/analisis/dilema-lsquobailoutrsquo-pembaziran-atau-peluang-keemasan

https://premium.sinarharian.com.my/article/190159/fokus/laporan-khas-/tidak-wajar-lsquobailoutrsquo-sapura-energy

https://premium.sinarharian.com.my/article/190160/fokus/laporan-khas-/reputasi-bertaraf-dunia-faktor-sapura-energy-layak-diselamatkan

NAJIB


Kemuncak kepada 'perbalahan' di media sosial itu, Rafizi dalam satu temubual pada Jumaat lalu mengajak Najib berdebat mengenai langkah bailout Sapura Energy.

Najib yang menyahut cabaran debat Rafizi bagaimanapun meletakkan syarat ia perlu disertai Anwar.

"Rafizi nak debat isu Sapura? Boleh. Tapi panggil bos kamu Anwar debat dengan saya. Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia. Dua lawan satu, tiada masalah," jawab Najib pada Ahad.

Sinar Harian kini sedang mendapatkan komen lanjut daripada kedua-dua belah untuk merealisasikan sesi debat tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca