SHAH ALAM - Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 50,000 pembantu rumah warga asing setelah lebih dua tahun tiada kemasukan amah baharu berikutan penutupan pintu sempadan negara akibat pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, keperluan untuk mendapatkan pembantu rumah agak mendesak berikutan Malaysia kini melalui fasa pemulihan ekonomi dan orang ramai sudah mula masuk bekerja seperti biasa.
Menurutnya, buat masa ini dianggarkan hanya 80,000 pembantu rumah warga asing yang berada di negara ini berbanding sebelum ini Malaysia mempunyai sehingga 300,000 amah.
"Daripada 80,000 amah yang berada di negara ini, 70 hingga 80 peratus daripadanya adalah dari Indonesia dan selebihnya dari Filipina. Dalam tempoh lebih dua tahun semasa pandemik, ada majikan yang menghantar pulang pembantu rumah mereka dan ada yang mengambil keputusan untuk pulang.
"Jadi, apabila sempadan mula dibuka, Malaysia dan Indonesia memeterai perjanjian persefahaman (MoU) pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI), saya melihat proses pengambilan perlu disegerakan kerana keperluannya mendesak.
"Sepanjang tempoh dua tahun, majikan di negara ini berdepan kesukaran dan ada antara mereka yang terpaksa menghantar ibu bapa mereka ke pusat penjagaan kerana kesukaran mereka untuk memantau kesihatan dan menjaga ibu bapa khususnya yang sakit,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ditanya tentang faktor keperluan mendesak dalam mendapatkan amah, beliau berkata, ramai pasangan bekerja yang berdepan kesukaran untuk menguruskan rumah dan keluarga kerana sudah kembali bekerja.
Sementara itu, Yong Hooi berkata, beliau berpuas hati dengan (MoU) pengambilan dan perlindungan PDI kerana antara lain bayaran bagi pengambilan amah Indonesia yang ditetapkan tidak melebihi RM15,000 berbanding kos untuk mengambil seorang pembantu rumah adalah antara RM15,000 ke RM16,000 sebelum pandemik.
"Kerajaan telah berusaha keras untuk menurunkan harga ini. Semasa tempoh pandemik, Agensi Pekerja Swasta (APS) tidak dibenarkan membawa masuk pembantu rumah asing.
"Jadi, jika ada pembantu rumah yang dibawa masuk, itu bukan di bawah APS tapi melalui ejen secara tidak sah, sebab itu ada harga yang dikenakan tidak masuk akal sehingga RM25,000 ke RM30,000
"Tetapi, kos sebenar untuk mendapatkan pembantu rumah masih dalam perbincangan. Wakil Kedutaan Indonesia sudah nyatakan, harga bayaran kepada agensi di Indonesia tidak harus lebih RM8,000,” jelas beliau.
Kos untuk ambil pembantu rumah:
Sebelum pandemik: RM15,000-RM16,000
Selepas sempadan dibuka: Lebih RM15,000
Bayaran levi, visa mengikut negara
Fi proses, bayaran pas, wang jaminan dan beberapa bayaran lain
Pasport
Tiket penerbangan
Dokumen perjalanan
Pembantu rumah warga asing: 80,000
Indonesia (70-80 peratus)
Filipina (selebihnya)
Klik di sini untuk terus membaca