SEKTOR pertanian merupakan salah satu sektor ekonomi primer terpenting yang mendapat tumpuan kerajaan kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk Malaysia. Ia juga merupakan sektor yang penting dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SEKTOR pertanian merupakan salah satu sektor ekonomi primer terpenting yang mendapat tumpuan kerajaan kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk Malaysia.

Ia juga merupakan sektor yang penting dalam menyumbang kepada pendapatan negara yang mana penghasilan hasil pertanian yang berterusan dapat memacu ekonomi negara ke arah yang lebih baik.

Penekanan terhadap sektor pertanian juga membolehkan negara mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dari luar negara.

Pertanian merupakan antara aktiviti yang melibatkan kemerosotan penggunaan tanah dan habitat semula jadi.

Dalam menghasilkan tanaman yang optimum dengan menghindar serangan daripada serangga perosak dan penyakit tanaman, lazimnya penggunaan racun kimia kalangan peladang merupakan kaedah dalam menangani masalah tersebut.

Penggunaan racun yang tidak terkawal atau tidak mematuhi piawai peraturan yang ditetapkan pastinya memberi kesan kepada kualiti tanaman, alam sekitar dan kesihatan pengguna.

Sektor pertanian turut menghasilkan sisa-sia pertanian yang perlu diuruskan secara baik, namun, amalan membakar sisa tersebut ternyata memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Malaysia telah sepakat mengadaptasi Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals -SDGs) yang menggariskan 17 matlamat utama semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015.

Justeru, sektor pertanian perlu berharmoni dengan alam sekitar dalam setiap aktivitinya ke arah menghasilkan produk berkualiti, selamat dan mesra alam.

JAMIN KESEJAHTERAAN

Hal ini kerana, kondisi persekitaran seperti perubahan iklim, perubahan suhu sekeliling serta pencemaran air, tanah dan udara sangat mempengaruhi amalan dan memberi impak terhadap sektor pertanian.

Natijahnya, persekitaran yang berkualiti akan menghasilkan sumber air dan makanan yang bersih untuk kegunaan pertanian seterusnya menjamin kesejahteraan dan kesihatan manusia.

Tambahan pula, di peringkat pasaran dan kepenggunaan, pengguna dan peniaga yang cakna terhadap isu kelestarian akan meminta barangan ‘berasaskan nilai’ yang dikeluarkan melalui kaedah mesra alam.

Maka pertanian lestari iaitu, konsep pertanian yang tidak mencemarkan alam sekitar sangat dituntut.

Pertanian lestari yang merangkumi tiga komponen penting seperti perlindungan alam sekitar, ekonomi serta menjamin keselamatan sosial merupakan satu sistem yang berjaya bagi pengurusan sumber pertanian bagi memenuhi kehendak manusia di samping mengekalkan atau menambah baik serta mengelakkan kemusnahan alam sekitar.

Antara kriteria keperluan bagi amalan pertanian lestari adalah seperti kesihatan tanah, pengurusan nutrien, pengurusan air, pengurusan perosak, tenaga dan biodiversiti. Keenam-enam elemen ini menjadi indikator ke arah amalan pertanian lestari.

Di Malaysia, amalan pertanian lestari telah mula diperkenalkan pada awal tahun 1998 dan disambut baik oleh agensi-agensi pertanian untuk diguna pakai dalam operasi kawasan pertanian bagi peladang serta pekebun kecil.

Jabatan Pertanian pula telah mengambil langkah positif dalam mengurangkan kebergantungan kepada input baja kimia bagi pengeluaran hasil tanaman dengan memperkenalkan Sistem Amalan Integrasi Pertanian, Sistem Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Kebun Organik.

Sekiranya penggunaan bahan kimia diperlukan, ia akan digunakan seminimum yang mungkin dengan cara dan kepekatan yang dibenarkan.

Ciri amalan pertanian lestari lain yang dipraktik melibatkan pengkomposan yang sangat membantu dalam mengurangkan pencemaran alam. Malah, amalan menanam tanaman kekacang penutup bumi turut membantu mencegah hakisan tanah serta mengelakkan pencemaran air di kawasan ladang pada waktu hujan.

Pertanian lestari ternyata membawa banyak kebaikan. Namun, pertanian lestari hanya boleh berjaya apabila semua pemegang taruh memainkan peranan dengan jayanya.

Paling utama, pengusaha pertanian harus diberi kesedaran dan latihan yang betul sebagai salah satu langkah persediaan mempraktikkan amalan pertanian ini.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca