SHAH ALAM - Pemimpin UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad. Ahli Majlis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, negara ini harus belajar daripada negara-negara maju yang sering menganjurkan debat antara pemimpin mereka.

Bung Moktar

"Kalau debat ini boleh menghasilkan suatu pandangan dan pendapat yang boleh diterima pakai untuk selesaikan isu-isu tertentu, saya amat setuju.

"Moderator atau pihak penganjur debat ini perlu memberi ruang lingkup yang lebih luas kepada mana-mana pendebat.

"Mungkin kita boleh mulakan Malaysia sebagai negara yang ingin menuju negara maju. Kita benarkan perkara-perkara sebegini dengan syarat semua peserta dan hadirin bersifat profesional,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata beliau bersedia untuk menerima cabaran debat daripada Rafizi Ramli, namun Naib Presiden PKR itu perlulah memanggil Anwar untuk berdebat sama.

Anwar kemudian menyatakan bersedia untuk berdepan dan berdebat dengan Najib.

Mengulas lanjut, Bung Moktar menambah, debat itu perlu menghasilkan penemuan tertentu yang dapat menyelesaikan masalah yang diperdebatkan.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula menyatakan perdebatan antara pemimpin kini menjadi suatu norma baharu yang segar.

Mohamed Nazri

Menurutnya, perdebatan seperti itu tidak memutuskan sama ada seseorang itu betul atau salah.

"Dia tidak ada hakim. Cuma memberi ruang untuk masing-masing menyatakan pendirian tentang isu berkenaan dan membawa fakta-fakta untuk memperkukuh hujah mereka.

"Akhirnya orang yang mendengar itu dia membuat kesimpulan sendiri. Itu tujuannya,” katanya.

DEBAT CARA TERBAIK

Turut menyokong ia diadakan ialah Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyifatkan debat mengenai Sapura Energy antara pemimpin terbabit adalah cara terbaik.

Nik Nazmi

"Kita tahu Datuk Seri Najib ini suka membuat hantaran di Facebook yang kadang-kadang tidak menceritakan keadaan sebenar. Bagi saya, debat bersemuka yang sepatutnya berlaku.

"Setakat buat hantaran di Facebook itu senang. Tetapi kalau debat, maka dia kena menjawab menggunakan hujah dan fakta,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, isu mengenai Sapura Energy juga adalah amat relevan untuk dibahas.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula menyokong debat melibatkan Najib dan Rafizi.

Fahmi

Fahmi berpendapat sekiranya debat ini diadakan ia akan menghangatkan perbincangan tentang isu tatakelola urus tadbir negara.

"Banyak perkara wajar dibahas. Contohnya isu Sapura Energy, MySejahtera, pemilikan MySejahtera dan isu Digital Nasional Berhad (DNB),” kata beliau.

Fahmi berkata, dengan adanya debat mengenai isu-isu tersebut, ia membolehkan orang ramai mendalami dan memahami dengan lebih lanjut perkara berkait dengan isu tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca