MINGGU lalu menyaksikan bermula dan tamatnya pameran DSA 2022 yang dinanti-nantikan sekian lama selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Seperti kelazimannya, hari terakhir menyaksikan laporan media menghebahkan apa yang berlaku, khususnya perolehan, perjanjian persefahaman (MoU) dan perancangan berkaitan aset-aset pertahanan negara,
Sebanyak 54 kontrak dan MoU ditandatangani membabitkan nilai RM4.6 bilion untuk Kementerian Pertahanan. Daripada pecahan 54 kontrak tersebut, 20 daripadanya membabitkan Surat Penerimaan bernilai RM1.14 bilion, 24 kontrak bernilai RM3.32 bilion diikuti tujuh Surat Niat bernilai RM152.79 juta dan tiga lagi membabitkan MoU.
Jika dilihat perolehan dan perjanjian yang berlaku, tentunya nilai berbilion dalam Ringgit Malaysia bukanlah nilai yang sedikit.
Apapun persoalan yang boleh dibangkitkan ialah adakah perolehan dan perjanjian persefahaman pada setiap kali pameran DSA menepati dan sealiran dengan pelan jangka panjang Dasar Pertahanan Negara yang telah dirumus sekian lama?
Antara isu setiap kali DSA berlangsung adalah bagaimana pemain industri tempatan cuba ketengahkan produk tempatan yang diketahui mempunyai keperluan diguna pakai oleh pihak angkatan tentera negara, namun produk mereka kerap gagal dipilih pada peringkat akhir.
Jika adapun produk firma tempatan terpilih, mereka lazimnya akan mengetengahkan produk buatan firma asing namun menekankan mengenai komponen tempatan (walaupun kecil peratusnya) dan kerja-kerja senggaraan yang dilakukan dalam negara mengguna kepakaran tempatan.
Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE), Mohd Yazid Ahmad, perkara ini perlu ditangani segera.
Menurut beliau, usaha untuk menyokong persediaan kemampuan pertahanan negara akan hanya berjaya jika negara menggunakan sumber dalam negara sepenuhnya dan menggunakan sokongan minimum sumber atau kepakaran dari syarikat luar.
Beliau berharap agar negara mewujudkan satu kumpulan pakar rakyat tempatan yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang pertahanan berteknologi tinggi.
Tentunya STRIDE yang telah wujud sejak 54 tahun lalu dan mempunyai lebih 100 pegawai dan penyelidik berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi dan kajian pertahanan mampu menyumbang ke arah merealisasikan perkara ini.
Satu aspek lagi yang menyebabkan pergantungan kepada produk luar secara intensif dan berterusan adalah kurangnya pemantauan atau pelaksanaan dalam Program Kolaborasi Industri (ICP).
PROGRAM ICP
Antara sebab utama diwujudkan program ICP adalah membolehkan pembangunan kandungan tempatan. Ia adalah pembuatan produk tempatan dan berkait secara langsung dengan reka bentuk, pembangunan dan pemasangan bahagian serta komponen sama ada sepenuhnya atau sebahagian yang melibatkan pemindahan teknologi dan pengetahuan.
Laporan berkaitan program ICP untuk tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara pada Mac lalu mengetengahkan beberapa isu menyebabkan program itu gagal menyumbang secara skala besar kepada peningkatan dan pembangunan teknologi pertahanan tempatan.
Antaranya adalah penarikan klausa ICP daripada beberapa perolehan tanpa pengetahuan pihak kerajaan, penilaian dan hasil dari program yang dilaksana tidak diimplementasikan, selain tiada laporan dan pengawasan mengenai bagaimana ICP dilaksana kepada pihak berwajib.
Kesemua ini menyebabkan aliran pengetahuan dan teknologi pertahanan yang boleh dimanfaatkan oleh firma tempatan diibaratkan sebagai longkang yang mengalir lesu dan bukan anak sungai yang deras.
Sama ada perkara ini adalah akibat dari budaya industri yang mungkin lebih selesa dengan mengaut keuntungan segera hasil aktiviti penjualan terus tanpa perlu berdepan dengan tanggungjawab sosial dan kemahuan untuk membangunkan kemampuan aset pertahanan sendiri adalah satu perkara yang subjektif.
Jika kedua faktor disebutkan ini tidak ditangani segera, DSA akan terus menjadi hanya medan pameran industri menjual dan membeli senjata dan tidak akan dapat menyumbang kepada antara objektif utama kenapa pameran ini diadakan, ketika ia bermula pada 1988.
Ianya adalah untuk memenuhi aspirasi Dasar Pertahanan Negara, iaitu berdikari dalam keperluan kita untuk mempertahankan negara tercinta ini.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007
Klik di sini untuk terus membaca