SHAH ALAM - Kebanyakan harga juadah popular di bazar Ramadan menunjukkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lepas.
Tinjauan Sinar Harian di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam di sini, mendapati kenaikan itu melibatkan hampir kesemua juadah antaranya roti john, martabak, kuih talam, tepung pelita, lepat pisang, puding karamel, masakan ayam dan ikan.
Peniaga roti john, Muhamad Syazriel Nazif, 21, berkata, kenaikan barang mentah seperti roti, daging termasuk sayur menyebabkan pihaknya terpaksa meningkatkan harga jualan kepada RM8 bagi roti john daging dan ayam.
"Walaupun ada antara bahan tersebut naik beberapa sen sahaja, tapi bila beli secara pukal jumlah itu jadi besar.
"Kita cuba pastikan supaya kenaikan berada pada kadar minimum sebab kita pun nak semua orang boleh rasai makanan yang kita jual,” ujarnya.
Peniaga kuih, Nurhayati Ahmad, 54, berkata, peningkatan harga kali ini hanya membabitkan kuih tepung pelita yang mencatatkan kenaikan sebanyak 10 sen.
"Kuih yang lain harga kekal, hanya tepung pelita yang naik. Saya dimaklumkan oleh pembekal bahawa kenaikan itu berlaku kerana peningkatan harga tepung,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga makanan, Afhiera Azahar, 29, berkata, peningkatan harga bahan mentah menyebabkan dia terpaksa menaikkan harga jualan sebanyak RM2 bagi gulai daging kepada RM10 pada tahun ini, manakala gulai kambing pula meningkat RM3 kepada RM15.
"Harga jualan bagi nasi ambeng di gerai saya juga naik RM2 kepada RM10 kerana peningkatan harga bahan mentah seperti ayam dan kelapa,” ujarnya.
Sementara itu tinjauan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam mendapati, rata-rata pembeli berpuas hati dengan harga ditawarkan walaupun terdapat kenaikan hampir 10 peratus bagi makanan tertentu.
Antara makanan mengalami kenaikan harga hampir 10 peratus ialah ayam golek dijual pada harga RM24 saiz sederhana dan RM25 bagi saiz besar berbanding RM22 dan RM23 pada tahun lalu.
Sata juga didapati naik harga iaitu dari RM3 kepada RM3.50 setiap cucuk dan kebab daripada RM4.50 kepada RM5, manakala makanan dan minuman lain masih kekal pada harga lama walaupun harga barang didakwa naik.
DULU RM22, SEKARANG RM27
Dalam pada itu di TERENGGANU, menu ayam bakar tetap menjadi pilihan orang ramai walaupun harga makanan tersebut meningkat sehingga RM5 seekor.
Peniaga ayam madu Sarawak, Abdul Wafi Zainuddin, 25, berkata, gerainya mula dikunjungi pelanggan bermula jam 3 petang walaupun ayam masih dalam proses dibakar selepas memulakan perniagaan.
"Hari ini saya hanya sediakan sebanyak 70 ekor ayam tapi setakat ini 50 ekor ayam bakar sudah berjaya dijual dalam tempoh sejam,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu di sini.
Menurut Abdul Wafi yang sudah sembilan tahun berniaga di bazar Ramadan berkata, dia tidak berani mengambil risiko menjual ayam bakar dalam kuantiti banyak selepas terpaksa menaikkan harga jualan.
Katanya, ayam madu Sarawak kini dijual dengan harga RM27 seekor berbanding RM22 sebelum ini dan kenaikan tersebut tidak boleh dielak berikutan peningkatan kos serta barang mentah.
"Alhamdulillah, pelanggan masih sanggup membeli dan saya tidak jangka akan menerima sambutan baik sebegini pada hari pertama berniaga,” katanya yang dibantu oleh tiga pekerja.
NASI AYAM, MARTABAK NAIK RM1
Situasi sama turut dikesan di KEDAH apabila menu berasaskan juadah ayam mencatatkan sedikit kenaikan harga.
Peniaga Nasi Ayam Berempah di Bazar Taman Mahsuri, Jitra, Nor Hafiza Shaari berkata, kenaikan harga sebanyak RM1 tidak dapat dielakkan kerana kos bahan mentah turut meningkat.
Bagaimanapun katanya, kenaikan itu dijamin tidak membebankan pelanggan dan masih berbaloi dengan saiz hidangan yang dibeli.
Di MELAKA, martabak turut mengalami kenaikan harga apabila juadah itu dijual RM6 sekeping berbanding RM5 pada tahun lalu.
Peniaga martabak di Bazar Ramadan Jalan Peringgit, Roslan Osman, 56, berkata, kenaikan membabitkan martabak ayam itu tidak dapat dielakkan berikutan harga bahan mentah seperti ayam dan bawang meningkat selain minyak masak.
"Bagaimanapun harga martabak daging masih kekal RM5 sekeping,” katanya.
Di KELANTAN, kuih tradisional negeri itu didapati naik harga antara 5 sen sehingga RM1 sebiji di bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Seorang peniaga, Abdul Rahman Abdul Aziz, 33, berkata, kuih seperti bunga tanjung tahun ini dijual pada harga RM14 bagi 100 biji berbanding RM12 bagi 100 biji sebelum ini.
"Sekaya telur bersaiz sederhana dijual RM3 sebiji berbanding RM2 sebiji,” katanya.
Ujarnya, kuih beko pula dijual 30 sen sebiji berbanding 25 sen dan nekbat 27 sen sebiji berbanding 20 sen.
"Kuih tradisi kurang dikenali iaitu piana sebelum ini 60 sen sebiji kini dijual RM1 sebiji dan semuanya akibat modal bahan mentah seperti tepung gandum, gula serta telur yang mahal,” katanya.
MASIH BERPATUTAN
Sementara itu di PERAK, pengunjung bazar Ramadan di Stadium Perak di sini mengakui terdapat kenaikan harga makanan namun menyifatkan ia tidak membebankan dan masih mampu dibeli.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kadar kenaikan harga juadah seperti kuih-muih dan lauk-pauk bermula 20 sen hingga RM2.
Pesara, Yahaya Aziz, 62, berkata, kenaikan harga juadah itu adalah wajar dengan keadaan ekonomi semasa dan kepayahan peniaga untuk naik semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya beli pelbagai juadah untuk berbuka dan memang kita perasan ada kenaikan tetapi saya lihat ia dalam jumlah sedikit dan bukannya mendadak.
"Jadi kenaikan itu adalah memadai dan saya sebagai pembeli tiada masalah. Berbanding tahun lepas, saya lihat keadaan bazar ini sudah kembali meriah,” katanya ketika ditemui di sini.
Pengunjung, Kamarulzaman Che Ahmad, 51, berkata, kenaikan harga juadah dilihat tidak ketara berbanding tahun lalu.
"Harga naik itu tidak nampak sangat hendak kata tinggi itu tiadalah berbanding kos mereka memasak. Secara peribadi saya rasa harga masih berpatutan.
"Saya hanya membeli kuih-muih dan ikan bakar secara ala kadar sahaja sebagai lauk tambah di rumah waktu berbuka nanti,” katanya.
Peniaga kuih, Azabillah Farhana Ismail berkata, kenaikan harga kuih tidak dapat dielakkan selari dengan kenaikan harga barangan.
"Kenaikan sebanyak 20 sen hingga 50 sen dikenakan berikutan kenaikan harga barang mentah seperti ubi kentang, santan dan sebagainya.
INFO
ANTARA JUADAH NAIK HARGA
Roti John (RM8 hingga RM12)
Kuih muih (kenaikan hingga 10 peratus)
Gulai daging (RM10)
Gulai kambing (RM15)
Ayam golek (RM24 hingga RM27 seekor)
Sata (RM3.50 secucuk)
Kebab (RM5)
Martabak ayam (RM6)
Klik di sini untuk terus membaca