SHAH ALAM - Sindiket dan tali barut yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) diberi amaran keras untuk segera menghentikan sebarang cubaan menyeludup masuk migran.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, sindiket penyeludupan PATI akan menggunakan pelbagai helah untuk menceroboh masuk ke Malaysia ketika negara memasuki peralihan fasa ke endemik pada 1 April.
Jelas Muhammad, pihaknya menjangkakan berlaku kekerapan pencerobohan masuk oleh sindiket yang membawa PATI dalam tempoh itu ekoran pembukaan semua sektor pekerjaan di Malaysia dan faktor ekonomi yang teruk di negara asal PATI.
"PATI ini akan cuba masuk ke Malaysia dan perkara ini menjadi faktor tekong atau ejen sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menyeludup masuk PATI melalui laluan tidak sah.
"Polis tidak tolak kemungkinan ada PATI sanggup membayar RM1,300 ke RM1,500 seorang untuk masuk ke Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas modus operandi sindiket terbabit, Muhammad mendedahkan, PATI yang dibawa masuk akan dibahagikan dalam jumlah kecil sekitar tiga hingga lima orang ke bot nelayan tempatan bergantung kepada keluasan bot terbabit.
Ujarnya, pemindahan itu dilakukan di sempadan perairan Indonesia-Malaysia dan akan berada beberapa hari di lautan untuk melakukan kerja sebagai nelayan.
"Ini bagi mengaburi pihak berkuasa. Mereka ini akan berada di lautan sekitar tiga hingga empat hari dan boleh mencecah sehingga satu minggu sebelum balik ke pangkalan,” jelasnya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh tahun ini bermula Januari sehingga 29 Mac, Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Nyah 1 berjaya menahan 233 individu terdiri daripada 229 PATI dan empat warga tempatan di Selangor dan Johor.
Menurut Muhammad, pihaknya turut merampas lima buah kenderaan, telefon bimbit selain wang tunai yang keseluruhan berjumlah RM102,660.
Tegasnya, tindakan telah diambil ke atas suspek di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Klik di sini untuk terus membaca