SHAH ALAM - Peningkatan harga barang semasa bulan Ramadan dan pada musim perayaan disifatkan sebagai acara tahunan di negara ini.
Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari menjelaskan, peningkatan harga barang itu dipengaruhi oleh tiga faktor.
Mohd Yusof berkata, pertamanya adalah disebabkan pertambahan permintaan sewaktu bulan Ramadan dan mahu menyambut hari raya terutamanya orang Melayu yang lebih banyak berbelanja pada masa tersebut.
"Banyak berbelanja tetapi dalam masa yang sama banyak juga dilepaskan ke tapak pelupusan sampah dan pembaziran makanan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Wacana Sinar Harian Edisi Ke-335 yang bertajuk 'Puasa Endemik, Selamatkah Kita?' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panel ialah Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Profesor Dr Mohamed Rusli Abdullah dan Ahli Majlis Dakwah Negara, Shahrizan Daud At-Turabi manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kebanyakan harga juadah popular di bazar Ramadan menunjukkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lepas.
Tinjauan Sinar Harian di Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam mendapati, kenaikan itu melibatkan hampir kesemua juadah antaranya roti john, martabak, kuih talam, tepung pelita, lepat pisang, puding karamel, masakan ayam dan ikan.
Kerajaan dalam masa sama dilaporkan mengakui agak sukar untuk mengawal harga makanan yang telah dimasak berbanding barangan mentah.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof menambah, faktor kedua peningkatan harga barang adalah disebabkan eksploitasi terutamanya dalam kalangan peniaga yang mahu mendapatkan keuntungan cepat.
"Terutamanya selepas mereka tidak dapat berniaga dan tidak dapat beroperasi dalam masa pandemik. Banyak juga keluhan yang saya dapat daripada orang awam," ujarnya.
Menurutnya, faktor ketiga adalah daripada segi bekalan bahan mentah yang terhad dan ia dapat dilihat dengan tindakan kerajaan mengimportnya dari negara luar.
"Contohnya makanan ayam menyebabkan harga ayam meningkat dan masih kekal tinggi sehingga ke hari ini," jelasnya.