SHAH ALAM - Kebanyakan pencarum yang membuat pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 adalah untuk membayar hutang pinjaman. Berdasarkan tinjauan Sinar Harian terhadap 10 pencarum yang ditemui di salah sebuah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kebanyakan pencarum yang membuat pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 adalah untuk membayar hutang pinjaman.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian terhadap 10 pencarum yang ditemui di salah sebuah cawangan KWSP di sini pada Selasa, rata-ratanya mengakui perlu membayar tunggakan pinjaman bank, hutang pinjaman daripada rakan dan sebagainya.

Seorang pemandu lori, Abu Bakar Abdul Hasyim, 41, berkata, pengeluaran sebanyak RM10,000 itu bertujuan membayar sewa rumah yang tertunggak, selain perlu membayar wang yang dipinjam daripada rakan sepanjang dia tidak bekerja akibat Covid-19 dua tahun lalu.

"Bila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal Mac 2020, banyak kedai terpaksa ditutup dan lori tidak banyak bergerak. Saya pula gaji tak menentu, dibayar mengikut berapa banyak barang yang diambil, setiap hari.

"Jadi bila berlaku sedemikian, saya tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan harian, termasuklah membayar sewa rumah. Terpaksa pinjam dengan rakan,” katanya yang berasak dari Teluk Intan, Perak.

Seorang lagi pemandu lori, Arumugam Poonnusamy, 49, turut berhasrat untuk membayar tunggakan kereta, motor dan rumah sewa apabila permohonan pengeluaran khas itu diluluskan kelak.

"Ini kerana, sewaktu Covid sebelum ini, saya hanya memandu lori dua kali seminggu sahaja. Jadi, gaji saya memang terjejas teruk sehingga terpaksa pinjam dengan kawan dan meminta isteri menggadaikan emas untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga.

"Bila kerajaan membenarkan pengeluaran sebanyak RM10,000 ini, saya berasa sedikit lega kerana dapat melunaskan hutang-hutang yang dipinjam sebelum ini,” katanya.

ANSURAN KERETA

Bagi Izuan Rahim, 38, pula, dia turut berhasrat untuk melunaskan tunggakan ansuran kereta dan persediaan sempena Ramadan dan juga Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Jadi, bila dapat keluarkan wang KWSP ini saya dapat selesaikan apa yang patut, termasuklah membayar hutang kereta,” katanya.

Sementara itu, pekerja sambilan, Muhd Hanafi Fauzi, 28, berkata, selain membayar sewa rumah dan pinjaman bank, pengeluaran itu juga bertujuan untuk menampung perbelanjaan diri dan ibu bapa.

"Sewaktu Covid, kerja memang susah. Makan pun apa yang ada sahaja. Banyak juga tukar kerja sebab susah nak ‘survive’. Terpaksa cari kerja lebih baik nak jaga mak ayah, bayar sewa rumah dan motor,” ujarnya.

Turut senada, Rashidi Mat Desa, 49, yang mana dia perlu membayar hutang yang dipinjam sebelum ini dan menampung perbelanjaan anak yang masih bersekolah, memandangkan dia ketika ini sukar mendapatkan pekerjaan.

Seorang kerani, Rosmawati Muda, 42, berkata, berikutan gajinya yang terjejas akibat pandemik Covid-19, pengeluaran KWSP itu sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan harian dia dan suaminya.

"Selain kegunaan anak-anak yang masih bersekolah, ini juga dapat membantu saya dan suami membayar sewa rumah dan hutang kereta yang tertunggak,” katanya.

SIMPANAN KECEMASAN

Bagi Eksekutif Operasi, Bahagian Makanan dan Minuman secara sambilan, Aida Abdullah, 50, pula, pengeluaran sebanyak RM10,000 itu adalah sebagai persediaan awal sekiranya berlaku kecemasan.

"Memandangkan saya sudah pun berusia, jadi pengeluaran ini amat perlu. Ditambah pula keadaan negara masih lagi berdepan dengan krisis kesihatan iaitu Covid-19,” katanya.

Azlifah Abdul Razak, 52, pula memberitahu, dia datang ke pejabat KWSP pada Selasa bagi tujuan mengemas kini nombor telefon yang baharu.

"Saya berharap permohonan saya diluluskan. Tujuan pengeluaran saya kali ini adalah untuk menampung sara hidup dan perbelanjaan harian, memandangkan saya tinggal seorang, mak ayah pula sudah tiada,” katanya yang turut bekerja secara sambilan ketika ini.

Seorang ibu tunggal, Sitti Aysah Nasir, 35, dia mengambil peluang melakukan pengeluaran itu bagi tujuan menampung perbelanjaan harian dia dan dua orang anaknya yang berusia lima tahun dan dua tahun.

"Jika mahu harapkan wang daripada kerja saya sahaja, ia tidak mampu nak tampung kos perbelanjaan keseluruhan saya dan anak-anak. Ditambah pula barang keperluan harian ketika ini semakin meningkat,” ujarnya.

Manakala, bagi Rohani Mohd Yusof, 40, pula, pengeluaran tersebut digunakan untuk rawatan dialisis, memandangkan dia merupakan salah seorang pesakit buah pinggang tahap lima.

"Kos rawatan ini sangat mahal. Saya pula perlu datang ke hospital tiga kali seminggu. Setiap kali rawatan, anggaran kos lebih kurang RM300. Kalau sebulan, mencecah sebanyak RM2,800,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca