SHAH ALAM - Pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat sebanyak tiga peratus susulan pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) April ini sekiranya pencarum mengeluarkan wang itu untuk berbelanja keperluan asas.
Bagaimanapun, Pakar ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff sebaliknya berkata, jika wang itu digunakan untuk membayar hutang bank maka ia tidak membantu pertumbuhan ekonomi negara.
"Pada tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekitar RM1.386 trilion. Jika RM46 bilion terus dibelanjakan ke ekonomi tampak, ianya bersamaan dengan 3.3 peratus.
"Namun kalau kita rujuk statistik KWSP, 16 peratus pengeluaran dibuat untuk melunaskan hutang.
"Bermakna mungkin sekitar RM38 bilion akan digunakan untuk keperluan seharian dan wang ini masuk ke dalam ekonomi tempatan.
"Ini akan meningkatkan KDNK sekitar 2.7 peratus untuk tahun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pada 29 Mac lalu, KWSP dalam satu kenyataan berkata, bayaran bagi pengeluaran khas secara sekali bayar kepada pencarum yang layak akan dibuat pada 20 April ini.
KWSP menetapkan syarat pengeluaran adalah bagi pencarum warganegara dan bukan warganegara serta pemastautin tetap berumur 55 tahun ke bawah dengan jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam akaun berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmed Razman turut menganggarkan lebih enam juta pencarum akan mengeluarkan caruman mereka kali ini.
Menurutnya, ia melibatkan pengeluaran berjumlah antara RM46 bilion hingga RM48 bilion, menghampiri separuh dari RM101 bilion yang pernah dikeluarkan sebelum ini di bawah skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.
"Sebanyak 6.6 juta pencarum akan mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 selepas pengeluaran ini, di mana 4.1 juta pencarum akan hanya mempunyai simpanan kurang dari RM1,000.
"Lima juta pencarum bumiputera (mewakili 62 peratus daripada pencarum bumiputera) akan mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 selepas ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan pencarum yang akan mengeluarkan caruman itu adalah mereka yang mempunyai simpanan lebih dari RM10,000.
Ia kerana pencarum yang mempunyai simpanan kurang daripada itu tidak memperolehi manfaat yang diharapkan kerana simpanan mereka terlalu sedikit.
"25 peratus pencarum akan mendapati mereka terpaksa buat kerja tambahan lebih dari lima tahun untuk tampung kembali pengeluaran mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Ahmed Razman juga berpendapat bahawa KWSP mempunyai kecairan yang mencukupi untuk menampung pengeluaran RM46 bilion hingga RM48 bilion itu tetapi mungkin terpaksa menjual aset pelaburan di luar negara.
Klik di sini untuk terus membaca