BIARPUN budaya debat sudah lama berkembang di Malaysia, namun ia bukan satu tradisi dan amalan biasa digunakan bagi memilih seorang perdana menteri seperti diamalkan untuk memilih ketua negara atau presiden di negara maju umpamanya di... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN budaya debat sudah lama berkembang di Malaysia, namun ia bukan satu tradisi dan amalan biasa digunakan bagi memilih seorang perdana menteri seperti diamalkan untuk memilih ketua negara atau presiden di negara maju umpamanya di Amerika Syarikat (AS).

Di AS, memang menjadi amalan dan budaya iaitu calon presiden dari Parti Republikan dan Demokrat wajib berdebat bagi menentukan individu paling layak memegang jawatan nombor satu itu.

Mereka bukan hanya berdebat dan bercakap mengenai pelbagai isu semasa dan kontroversi tertentu, malah kedua-dua calon mestilah mengemukakan hujah ilmiah yang bernas dan berdasarkan fakta bagi menjelaskan mengenai topik tertentu termasuk soal peribadi serta perkara sensitif.

Antara negara Asia Tenggara yang mengamalkan budaya debat bagi memilih ketua negara ialah Indonesia di mana Debat Pemilihan Presiden buat kali pertamanya diadakan pada tahun 2019 sempena Pilihan Raya Presiden (Pilpres).

Bagaimanapun, di Malaysia amalan berdebat bagi memilih calon perdana menteri tidak pernah berlaku kerana negara mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di mana pemilihan pemimpin tertinggi dalam kerajaan itu dibuat berdasarkan pihak yang mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan menilai, debat antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak lama lagi dijangka menjadi satu lembaran baharu dan akan menghidupkan budaya berdebat dalam kalangan pemimpin politik demi kepentingan rakyat di negara ini.

"Debat ini biasanya melibatkan calon atau pemimpin tertinggi tetapi Najib tidak mempunyai sebarang jawatan berbanding Anwar.

"Cuma debat antara Anwar, Rafizi dan Najib ini baik tapi hasilnya mungkin tidak seberapa. Najib sinonim dengan BN dan UMNO.

Najib menyahut cabaran Rafizi untuk berdebat.

"Jadi jika beliau berada dalam keadaan tidak baik dalam perdebatan maka ia memberikan gambaran negatif kepada UMNO, BN dan kerajaan tetapi mereka boleh kata Ahli Parlimen Pekan tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam BN/UMNO mahu pun kerajaan,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

HANTARAN MEDIA SOSIAL

Sebelum ini, Anwar, Rafizi dan Najib menyatakan kesediaan mereka untuk berdebat dalam masa terdekat mengenai isu kerugian bernilai berbilion ringgit dan usaha menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).

Pun begitu Azmi berkata, Najib tidak mempunyai sebarang obligasi atau beban besar jika tewas dalam perdebatan berbanding Anwar yang mungkin akan hilang keyakinan memimpin Pakatan Harapan (PH) dan PKR.

"Kalau kita lihat banyak hantaran dibuat Najib di media sosial, penuh dengan data-data. Jadi saya percaya bahawa Najib bukan lawan sembarangan yang boleh ditewaskan dengan mudah oleh Anwar.

"Mungkin dulu Najib semasa menjadi Perdana Menteri, banyak perkara perlu difikirkan dan boleh memberikan implikasi negatif.

"Bagaimanapun, selepas tidak mempunyai jawatan, beliau akan memperoleh banyak manfaat jika berdebat dengan pembangkang ketika ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca