GARIS pemisah antara media sosial dan media ‘so sial’ sesungguhnya sangatlah nipis. Lebih nipis daripada telinga mereka yang berada dalam kepayahan, golongan B40 misalnya, apabila disindir atau diperlekeh oleh golongan yang lebih bernasib baik, pensyarah contohnya.
Kerana nipisnya garis pemisah itulah sejak awal saya bimbang dengan kemunculan dan kemudian kemerebakan pengaruh media sosial. Ternyata saya tidak silap.
Sesuai dengan fitrahnya sebagai haiwan sosial, manusia secara umumnya mempunyai kecenderungan untuk dipedulikan dan dalam kes yang lebih serius menagih perhatian. Ada perbezaan antara kedua-duanya. Anda mahu dipedulikan kalau setiap kali berada bersama kawan rakan atau saudara mara anda mempamerkan wajah yang sugul. Tetapi anda menagih perhatian kalau setiap kali bersama mereka anda meraung dan menangis atau merapu dan meracau.
Berbanding dengan mahu dipedulikan, konotasi bagi menagih perhatian adalah lebih condong pada nilai-nilai negatif. Ia mempunyai kaitan dengan pelbagai kata kunci yang bersifat negatif juga, misalnya, beria-ia, mengada-ngada atau over kata orang putih. Jika orang yang mahu dipedulikan besar lazimnya beroleh simpati dan ihsan, orang yang menagih perhatian pula jarang tidak beroleh umpatan yang diiringi muncung yang terherot-herot.
Pada masa dahulu, apa juga perbuatan bagi tujuan menagih perhatian dibatasi oleh pelbagai kekangan. Anda boleh melaram dengan fesyen yang paling mahal atau paling pelik bagi tujuan tersebut. Misalnnya, ala-ala Boy George atau Lady Gaga atau The Blue Man Group. Tetapi jika anda memakai kasut yang tumitnya tinggi sampai ke lutut sekalipun, yang nampak hanyalah mereka yang berada di sekeliling anda. Orang yang berada jauh dari situ tidak nampak.
Untuk menarik perhatian jiran anda boleh membiarkan perabot yang baharu dibeli tersadai di halaman rumah selama berhari-hari. Paling lebih anda adakan majlis kenduri, konon-kononnya atas nama kesyukuran untuk menghimpunkan mereka bagi tujuan yang sama. Tetapi yang akan tahu tentang perabot baharu itu hanyalah mereka yang dijemput, atau yang tidak dijemput tetapi mendengar ceritanya daripada yang dijemput. Setakat itu sahaja. Orang di tempat lain, apatah lagi di Pulau Jawa, di Afrika Selatan, di Amerika Syarikat dan sebagainya tentu sahaja tidak tahu.
PENDIDIKAN AGAMA
Tetapi dengan adanya media sosial, semua itu berubah. Ruang untuk anda menarik perhatian orang menjadi lebih luas terbuka dan tiada batas sempadannya. Apa yang dahulunya hanya boleh dilihat oleh beberapa orang atau beberapa puluh orang, kini boleh menjengkau menjadi ribuan orang ataupun lebih.
Tiada batas waktu untuk melakukannya. Anda boleh sahaja bangun tidur jam 2 pagi, rakamkan gambar penapis air yang baharu dibeli dengan cara bayaran ansuran, muat naik, kemudian topang dagu menanti tanda ‘suka’. Kalau tidak ada yang suka, atau jumlah tanda ‘suka’ itu di bawah sasaran, esok pagi muat naik gambar lain pula. Jika anda melakukannya secara gigih dan berterusan, lambat-laun anda bukan setakat mendapat tanda suka, tetapi juga akan berpeluang mengumpulkan pengikut.
Saya pernah nyatakan dalam tulisan-tulisan yang lalu, bukanlah satu kesalahan jika seseorang itu menggunakan media sosial untuk menagih perhatian orang lain. Yang menjadi masalah adalah caranya. Kalau yang dijadikan umpan untuk menarik perhatian itu sesuatu yang normal, manakala yang diperagakan pula harta benda sendiri, terserahlah. Tetapi apabila ia melibatkan unsur-unsur abnormal, semua anggota masyarakat yang waras berhak berasa bimbang.
Dalam pendidikan agama Islam, dan saya percaya kebanyakan agama lain juga, akhlak menjadi antara subjek teras. Ia menjadi asas pembentukan masyarakat dan tunjang pada proses pembinaan adat resam yang membawa kepada munculnya do and don’t dan seterusnya adab dan sopan.
Maka, luangkanlah waktu untuk melihat apa yang telah terjadi pada adab sopan kita sekarang, khususnya sejak media sosial merungkai segala batasan yang selama ini mengawal pergerakan dan tindak-tanduk kita. Rasa segan, malu, bersalah, apatah lagi rasa berdosa sudah semakin terhakis. Ruang berkomunikasi tanpa kehadiran menjadikan manusia lebih berani, lebih daring dan lebih celupar.
Seorang kak long akan segera menjadi terkenal kalau dia masuk ke kedai mamak bersama cucunya kemudian mengamuk dan memaki hamun pekerja kedai itu. Cucunya juga akan menjadi terkenal jika ikut menyampuk sambil turut memaki hamun.Seorang mak cik akan cepat popular kalau menjual produknya dengan menggunakan bahasa-bahasa ‘dalam kelambu’.
BERLUMBA-LUMBA
Menyusukan anak tanpa selindung di khalayak ramai, pakai baju terlondeh sehingga menampakkan sebahagian dada, berseluar ketat mengalahkan ketupat, sekejap berhijab sekejap tidak, mendedahkan buruk isteri, menceritakan hodoh suami, semuanya telah diterima sebagai lesen bagi meraih perhatian seterusnya menjadi popular.
Kritikan tidak lagi dianggap sebagai teguran, kecaman tidak dianggap sebagai penghinaan. Yang penting orang kenal dan menjadi terkenal. Kalau diasak sangat keluar daripada norma adat, pada penghujungnya minta maaf tanpa rasa bersalah, habis cerita.
Alah bisa tegal biasa. Lama-kelamaan apabila semakin ramai orang melakukannya, maka perkara-perkara pelik yang melanggar batas susila itu akan hilang nilainya. Samalah seperti pornografi. Suatu masa dahulu kalau ternampak gambar perempuan seksi dalam mana-mana majalah, berebut-rebut kawan rakan hendak melihatnya walaupun gambar itu mungkin hanya sebesar kutu babi. Tetapi sekarang, bukan sahaja gambar tetapi video yang lebih dahsyat daripada itu boleh diakses menerusi telefon genggam masing-masing, gambar perempuan seksi di majalah telah hilang auranya.
Apabila itu berlaku, dengan apa cara lagikah orang kita hendak menarik perhatian orang lain? Apakah mereka akan berlawan memaki hamun atau berlumba-lumba berbogel? Tidak mustahil.
Sehingga Mac 2021, seramai 330 orang di seluruh dunia mati disebabkan kegilaan berswafoto di tempat-tempat berbahaya untuk dimuatnaik ke media sosial. Itu belum masuk aksi-aksi berbahaya seperti berbaring di landasan kereta api, terjun dari tebing tinggi dan sebagainya.
Akan sampai ke peringkat itu jugakah kita nanti? Tepuk dada, tanyalah akal. Sesungguhnya, kitalah yang menentukan sama ada media sosial akan kekal sebagai media sosial atau akhirnya akan bertukar menjadi ‘so sial’.
Jangan risau, jika hal seperti itu berlaku, yang bersalah bukannya kita, tetapi zionis. Merekalah punca dunia ini huru-hara. Merekalah yang menggerakkan seribu satu agenda untuk merosakkan umat manusia. Kita tak bersalah. Kita sekadar membantu menjayakan cita-cita mereka.#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca