AWANG nak ucapkan tahniah pada enam orang pelajar kita yang diterima masuk ke Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS). Maklumlah di tengah riuh rendah cerita politik, Covid-19 dan lain-lain, kadang-kadang kita lupa kejayaan pelajar kita sendiri.
Seingat Awang, ini rekod kemasukan tertinggi pelajar Malaysia bagi universiti yang berprestij itu.
Selama ini paling banyak dua orang diterima masuk, ada tahun yang tidak ada seorang pun dari Malaysia. Mereka yang bernasib baik itu ialah Carisma Michaela Wong, Herman Leong Xin Yang, Alyssa Yap Xin Yi, Lee Ee Jenn, Choi Je Qin dan Ishant Shah.
Bukan senang nak masuk ke Harvard. Setiap tahun puluhan ribu pelajar yang memohon.
Khabarnya tahun ini terdapat 61,220 pelajar yang mencuba, hanya 3.19 peratus yang dapat tempat.
Awang percaya rekod baharu ini akan buka mata ibu bapa dan pelajar kita. Kita harap lebih banyak lagi pelajar kita akan diterima di universiti-universiti terbaik di dunia.
Awang juga harap ibu bapa Melayu akan beri perhatian hal seperti ini. Bukanlah Awang kata universiti macam Harvard di AS atau Oxford dan Cambridge di United Kingdom (UK) akan lahirkan pelajar yang terbaik. Tapi kita mahu juga pelajar kita terdedah pada suasana pembelajaran di institusi pengajian tinggi terbaik di dunia.
Awang harap pelajar Melayu letak sasaran tertinggi demi masa depan mereka.
Klik di sini untuk terus membaca