AWANG nak ucapkan tahniah pada YB Datuk Anuar Mohd Tahir yang catat rekod kehadiran di Dewan Rakyat paling sempurna. Selain beliau, terdapat 17 orang lagi yang catat kedatangan penuh.
Kebanyakan mereka (14 orang) dari pembangkang, baik dari Amanah, DAP atau PKR. Hanya empat orang ahli Parlimen kerajaan yang mencatatkan kehadiran penuh, dua orang daripada Pas, seorang UMNO dan seorang Bersatu.
Dalam kes Anuar, beliau diserang strok pada bulan Oktober 2019 dan masih menjalani terapi di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Tapi beliau tetap hadir di Parlimen dalam sesi Parlimen yang terbaru.
Pada waktu yang sama, terdapat tujuh orang ahli Parlimen yang hadir kurang dari satu pertiga jumlah hari yang ditetapkan. Mereka termasuklah Tan Sri mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Hadi Awang, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Menurut rekod juga Tan Sri mantan Perdana Menteri hanya hadir 17 hari dari 71 hari persidangan. Beliau, Shafie dan Hadi, masing-masing mengetuai parti.
Dalam kalangan pemimpin tertinggi parti, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencatatkan kehadiran tertinggi.
Menurut rekod, secara purata ahli Parlimen kita hadir 56.5 hari sepanjang tempoh sesi Parlimen. Sesi baharu lepas mencatatkan 71 hari persidangan.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mencatatkan purata kadar kehadiran 63.1 hari sedangkan blok kerajaan mencatatkan purata 52 hari. Awang harap rakyat nilailah sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca