DALAM hadis yang diriwayatkan oleh At-Thabrani, Rasulullah bersabda bahawa Ramadan itu adalah bulan keberkatan. Di bulan ini, ALLAH menurunkan rahmat, menghapus dosa dan juga mengabulkan doa.
Kemuncak keampunan di bulan Ramadan ialah malam Lailatul Qadar iaitu malam yang nilainya menyamai seribu bulan. Kita yang berjaya dalam ujian Ramadan ini akan memperoleh balasan pengampunan, terlepas dari belenggu neraka serta dianugerahkan syurga.
Pengampunan. Inilah yang kita dambakan daripada ALLAH. Namun, dalam pada kita memohon dengan rendah hati, membisik dan merayu-rayu diiringi dengan titisan air mata, pernahkah kita bertanya diri, apakah kita sendiri juga telah mengampunkan?
Mengampunkan yang dimaksudkan ialah memaafkan semua manusia yang berbuat salah dengan kita. Sekiranya kita memohon kepada ALLAH agar kita diampunkan tanpa syarat, apakah kita pula telah mengampunkan insan-insan yang berdosa kepada kita tanpa syarat juga?
Kalau kita tidak mahu mengampunkan mereka tetapi pada waktu yang sama mahu ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, apakah kita manusia bersikap double standard? Kita ingin dimaafkan tetapi kita sendiri tidak mahu memaafkan. Bagaimana boleh begitu, ya?
Kita adalah manusia yang lemah. Apabila orang lain berbuat salah terhadap kita, kita mengambil masa untuk memaafkan. Dan sekiranya dosa orang lain kepada kita itu adalah kesalahan yang besar, kemungkinannya marah kita kepadanya memakan hingga berminggu-minggu lamanya. Malah mungkin lebih lama daripada itu apabila marah menjeruk di dalam hati hingga menjadi dendam kesumat yang menuntut pembalasan hingga ke anak cucu sampai tujuh keturunan!
Tetapi, mana mungkin kesalahan yang mengakibatkan kehilangan nyawa, harta yang banyak dan maruah tercalar boleh dimaafkan begitu sahaja? Sememangnya hati yang dirobek itu sukar dibalut dengan kata maaf. Namun, itulah harga yang harus kita bayar untuk mendapat keampunan ALLAH pula.
DOSA-DOSA
Memohon ampun kepada ALLAH adalah tindakan spiritual. Kita bersolat taubat, beristighfar dan berdoa. Setelah itu, kita berasa lega.
Namun itu belum tentu adalah petanda permohonan ampun kita itu diterima-NYA.
Sebaliknya mengampunkan manusia pula melibatkan hal keduniaan. Orang yang bersalah itu boleh datang bertemu untuk memohon maaf. Dan kita boleh menyatakan maaf secara berdepan. Cuma tindakan memaafkan itu hanya boleh dilakukan apabila kita membuka hati.
Apabila kita mengatakan, ‘aku maafkan kau,’ hati kita sendiri akan berasa lapang. Dosa-dosanya kepada kita terus berderai hilang. Jika kita masih kata, I can forgive but I can’t forget, iaitu ‘aku boleh memaafkan tetapi aku tidak boleh melupakan,’ apakah itu dalih hati untuk tidak memaafkan sepenuhnya?
Jangan kita berasa bahawa orang yang kita maafkan itu sahaja yang beruntung kerana terlepas dari dosa terhadap kita. Sebaliknya kitalah yang beruntung kerana kita telah move on, daripada memikul beban kemarahan hingga bertahun lamanya. Ini terjadi kerana sebahagian daripada perasaan negatif yang bersarang itu telah terangkat dari hati.
Barangkali, dengan mengampunkan dosa-dosa mereka yang berbuat salah kepada kita tanpa syarat di bulan yang mulia ini akan mengangkat hijab yang selama ini menjadi penghalang permohonan ampun kita diterima. Mudah-mudahan, tindakan kita dengan membuka pintu hati untuk memaafkan telah membuka pula pintu keampunan di langit.
"Telah berfirman Allah SWT: Wahai anak Adam! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli.
"Wahai anak Adam! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. Wahai anak Adam! Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tiada menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula.” (Riwayat Tirmizi)
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca