SHAH ALAM - Masyarakat khususnya yang beragama Islam disaran menggunakan fasa peralihan ke endemik Covid-19 sebagai peluang meningkatkan aspek kerohanian dan salah satu usaha pencegahan wabak.
Ahli Majlis Dakwah Negara, Shahrizan Daud At-Turabi berkata, setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan pengambilan vaksin Covid-19, aspek kerohanian dengan melaksanakan amal ibadat perlu dipertingkatkan sebagai usaha mencari jalan keluar.
Menurutnya, masyarakat juga wajar menghayati ketetapan yang dilakukan di Arab Saudi, yang kini membuka ruang lebih luas kepada umat Islam seluruh dunia bagi melaksanakan ibadat khususnya dalam bulan Ramadan.
"Pencegahan daripada sudut spiritual juga penting. Apabila ada fasa peralihan ini, kita dibenarkan ke masjid, saf dirapatkan, maka pada saya inilah masanya untuk kita gunakan peluang ini bukan sekadar platform untuk kita beribadat tapi platform sebagai pencegahan kepada wabak.
"Jadikan ibadat sebagai faktor pencegah. Bermaksud, sebab kita dah berusaha dengan cara vaksin, dengan cara penjarakan fizikal, dah usaha dengan pelbagai cara, termasuk PKP dan sebagainya," katanya ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Wacana Sinar Harian siri 335 bertajuk `Puasa Endemik, selamatkah kita?‘ dikendalikan oleh Ismail Adnan itu turut membariskan Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari dan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah sebagai panelis.
Pada masa sama, Shahrizan turut mengajak umat Islam merenung kembali sejauh mana usaha meletakkan peningkatan aspek kerohanian dalam diri masing-masing sepanjang pandemik Covid-19.
"Saya bercakap atas kapasiti orang Islam, sejauh mana kita jadikan kerohanian atau tingkatkan ibadat kita sebagai satu pencegah kepada Covid-19?
"Apabila berlakunya musibah dan wabak, kita kena tinggal maksiat. Sejauh mana kita betul-betul tinggal maksiat apabila berlakunya wabak?
"Kita tidak nafikan fungsi vaksin sebagai langkah pencegahan. Namun jangan lupa dalam percubaan kita, kerohanian juga perlu dipertingkatkan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca