SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu sudah lali menerima pelbagai kecaman dan tuduhan dari musuh politiknya.
Beliau mengakui musuh politiknya sering mencari salah dan perkara pelik tentang dirinya untuk dijadikan bahan ketika berceramah.
"Saya tidak menyedari sangat hal itu (dikecam) tetapi menjadi pelik setiap kali Perhimpunan Agung UMNO masa Tun Mahathir menjadi presidennya , hampir setiap kali nama saya disebut, dihentam dan dikritik bahkan satu ketika Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Presiden UMNO mengangkat nama saya sebagai orang yang dituduh terlibat mahzab Syiah ini.
"Pada masa itu saya terfikir, saya sentiasa menunggu di rumah bila pihak polis akan datang ambil saya untuk ditahan, nak ditahan bawah apa kalau ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) baru saya lalui, jadi saya kehairanan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Mat Sabu mengakui kepetahannya ketika berceramah dilihat sebagai 'senjata' yang boleh mempengaruhi ketika itu.
"Rupanya ucapan saya itu menjadi ‘dendangan’ anak-anak muda bahkan apa yang kita sebut dalam ceramah itu akan diulang semula depan saya jika terserempak dengan mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata disebabkan itu, musuh politiknya sering mengkaji dan menilai kebolehannya setiap masa.
"Sebab saya tidak mengikut aliran strim biasa. Bila orang bercakap soal komunis, betul kita tak terima. Saya baca buku yang ditulis oleh Ahmad Boestaman, Shamsiah Fakeh. Sebab itu bila tiap kali merdeka nama-nama yang sering disebut Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar kita terima mereka memang pejuang kemerdekaan.
"Tetapi kenapa tidak sebut nama Dr Burhanuddin Helmi, Shamsiah Fakeh, Mat Indra sedangkan Mat Indra ini orang yang meniupkan semangat melawan dengan penjajah waktu itu berlaku peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1951,” katanya.
Jelas Mat Sabu lagi, kalau ada pertempuran ketika itu bukan memerangi Yang Dipertuan Agong tetapi memerangi Queen atau ‘King’ British.