SHAH ALAM - UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu memecahkan kebergantungan menang pilihan raya dengan jumlah undian penyokong tegar semata-mata, hanya sekiranya dua tokoh besar dalam parti itu mempertimbangkan kesediaan bersara politik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu memecahkan kebergantungan menang pilihan raya dengan jumlah undian penyokong tegar semata-mata, hanya sekiranya dua tokoh besar dalam parti itu mempertimbangkan kesediaan bersara politik secara sukarela.

Lebih menarik, penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkeyakinan kunci utama untuk UMNO-BN kembali meraih sokongan pengundi atas pagar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah melalui kesanggupan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengundurkan diri serta-merta.

Zainal berkata, sekiranya Ahmad Zahid dan Najib berjiwa besar melakukan perkara demikian dan memberi laluan kepada pemimpin muka baharu lebih berintegriti dan beretika, beliau yakin UMNO-BN mampu mengulangi kejayaan memenangi PRU11 pada tahun 2004 dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.

Hal ini kerana beliau berpandangan kedua-dua tokoh ini terpalit dalam isu penyelewengan dana dan rasuah besar di mahkamah dan menyebabkan pengundi atas pagar semakin meminggirkan sokongan terhadap UMNO-BN itu sendiri.

"Jika UMNO dapat meletakkan pemimpin muka baharu lebih bersih seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai poster boy Perdana Menteri, rakyat pastinya kembali menyokong UMNO kerana mereka mahukan pemimpin yang bersih.

"Selagi ada Zahid, Najib, amat sukar untuk UMNO kembali mendapat majoriti dua per tiga kerana majoriti pengundi atas pagar tidak mahu dipimpin oleh mereka yang terpalit kes rasuah yang besar," jelasnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

DR ZAINAL

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mendakwa hasil kajian pihaknya menunjukkan hanya empat peratus daripada 2,500 responden mahukan Najib kembali menjadi Perdana Menteri.

Angka didedahkan Rafizi itu jauh lebih kecil berbanding angka 21 peratus responden yang mahukan Ismail Sabri kekal menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 melalui hasil kajian yang sama.

Di sebalik keyakinan UMNO-BN bahawa rakyat kembali menyokong mereka berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini, Zainal tidak beranggapan ia indikator jelas bahawa pengundi atas pagar turut beralih ke koalisi itu.

Buktinya, Zainal menegaskan jumlah peratusan undi popular sebanyak 43 peratus diundi UMNO-BN pada PRN Johor bukan jaminan ia akan terus membuahkan kemenangan pada PRU15, sekiranya pihak pembangkang sempat merealisasikan idea pembentukan khemah besar pembangkang.

"Ketika ini, majoriti rakyat di negeri Melaka dan Johor tidak keluar mengundi atau mengalihkan sokongan kepada koalisi Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka berpandangan semua parti politik adalah sama dengan UMNO-BN masih terpalit isu integriti dan etika kepimpinan parti.

"Namun jika UMNO-BN mampu memisahkan perkara berkenaan dan berjaya menyampaikan naratif kepada pengundi muda bahawa isu pemimpin terpalit dengan kes mahkamah tidak ada kaitan dengan hala tuju perjuangan parti.

"Saya fikir semua segmen pengundi akan menganggap UMNO-BN berjaya melakukan proses rejuvinasi dan tidak lagi terkongkong dengan pemikiran warlord politik," ujarnya.

Zainal turut mengimbas semula betapa bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali 'Pak Lah' mampu menjulang kejayaan terbesar BN semasa PRU 2004 berbekalkan imej yang bersih.

Klik di sini untuk terus membaca