[WAWANCARA EKSKLUSIF] Mat Sabu nama yang tidak asing dalam dunia politik tanah air. Meskipun bersahaja dan memiliki sifat humor, sindiran tajam Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mampu menggugat lawan.
Namun, di sisi kehidupannya, ada sesuatu yang menjadi pegangan hingga membolehkan bekas Menteri Pertahanan itu terus kekal sebagai ‘otai’ politik yang disegani.
Ikuti kupasan Mat Sabu atau nama sebenarnya, Mohamad Sabu ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
JOHAN: Orang melihat Yang Berhormat (YB) sebagai orang politik, tetapi kenapa menulis buku memoir bertajuk Juang Mat Sabu ini?
MOHAMAD SABU: Tujuan saya menulis adalah untuk mengingati perjalanan hidup. Saya orang yang bukan bermula dari atas atau keluarga yang ternama dalam politik.
Saya bermula dari kosong, dari bawah dan kita yakin dengan perjuangan. Soal kejayaan itu belum pasti, ia mengambil jangka masa yang panjang atas usaha kita.
Jadi kalau saya tak tulis buku ini, generasi muda atau anak cucu kita tidak akan dapat melihat perjuangan. Bukanlah senang untuk meletakkan Malaysia di tahap yang ada sekarang dari selepas merdeka dan perubahan politik yang kita alami bersama.
Dengan melihat, berkecimpung, meneliti dan mendengar, perkara itulah yang tuliskan di dalam buku tersebut.
- Orang melihat YB adalah seorang orator, banyak bercakap di pentas politik. Tetapi tak banyak orang menjangkakan akan menulis sebuah buku. Apa maknanya buku itu bagi YB sendiri?
Bila mendengar sesuatu perkara, saya tidak percaya terus. Misalnya kita memburukkan komunis, ideologi dan perjuangan mereka. Betul, kita tidak akan terima cara perjuangan mereka. Sabda Rasulullah SAW, Islam itu tinggi dan tiada ajaran yang dianggap lebih tinggi daripadanya. Riwayat al-Bukhari 1399 dan al-Daraqutni 3620.
Hari ini Islam dan negara orang Islam gagal. Mengapa? Sedangkan ideologi negara yang kita kata tidak betul sekarang menguasai sebahagian dunia. Antaranya ialah Rusia dan China.
Bila ada Perjanjian Damai Hatyai pada tahun 1999, saya pergi ke kem Rashid Maidin dan Abdullah CD. Saya nak tahu apakah propaganda dengan realiti. Apa yang saya lihat, propaganda terlalu teruk terhadap mereka dan realitinya amat berlainan.
Misalnya, di kem Abdullah Sidi, mereka ada surau. Mereka solat dan yang paling menakjubkan, mereka mempertahankan bahasa Melayu dengan tulisan jawi.
Sedangkan kita selepas merdeka, tulisan jawi makin terhapus hingga anak muda sekarang tidak tahu membaca tulisan jawi.
- Salah satu perkara yang banyak diperkatakan orang bila sebut tentang Mat Sabu, bukan sekadar satu jenama. Kebolehan Mat Sabu bukan sekadar orang politik, tetapi semacam satu institusi membicarakannya sama ada tujuan baik atau buruk, kritikan dan kecaman. Apakah YB sedar impak YB kepada dunia politik tanah air?
Saya tidak menyedari sangat hal itu tetapi menjadi pelik setiap kali Perhimpunan Agung UMNO semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden, hampir setiap kali nama saya disebut, dihentam dan dikritik.
Bahkan satu ketika, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Presiden UMNO mengangkat nama saya sebagai orang yang dituduh terlibat mahzab syiah.
Pada masa itu saya terfikir, saya sentiasa menunggu di rumah, bila polis akan datang ambil saya untuk ditahan.
Kalau kena, nak ditahan di bawah apa. Kalau ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), baru saya lalui. Jadi saya kehairanan.
Bila sudah berumur sikit, saya berbincang dengan orang ramai. Rupanya ucapan saya itu menjadi dendangan anak-anak muda.
Bahkan jika saya terserempak dengan mereka (anak muda), apa yang kita sebut dalam ceramah akan diulang semula depan saya. Rupanya disebabkan itulah musuh politik mengkaji dan menilai setiap masa kebolehan saya.
- Kenapa Mat Sabu dikaitkan dengan syiah dengan pelbagai fahaman ideologi sedangkan YB bukanlah orang kuat atau kepimpinan tertinggi Pas pada ketika itu?
Sebab saya tidak mengikut aliran biasa. Bila orang bercakap soal komunis, kita tak terima. Saya baca buku yang ditulis oleh Ahmad Boestaman dan Shamsiah Fakeh.
Bila tiap kali merdeka, nama-nama yang sering disebut ialah Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar. Kita terima mereka, memang pejuang kemerdekaan. Tetapi kenapa tidak sebut nama Dr Burhanuddin Helmi, Shamsiah Fakeh atau Mat Indra.
Sedangkan Mat Indra juga orang yang meniupkan semangat melawan penjajah waktu berlaku peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1951.
- Pernah satu ketika YB terlibat kontroversi tentang isu mengenai Bukit Kepong?
Ya, perbicaraan yang panjang, enam tahun. Akhirnya Mahkamah Tinggi membebaskan saya termasuk yang menjadi panel hakim dahulunya iaitu Ketua Hakim Negara sekarang, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
- YB bermula sebagai pemimpin pelajar di Institut Teknologi Mara (ITM). Kemudian disingkirkan daripada ITM kerana pembabitan YB. Apa pengajaran daripada peristiwa itu hingga Mat Sabu menjadi Mat Sabu sekarang?
Kita boleh mencapai perjuangan ini, satu melalui sijil, dan kedua melalui pembacaan, pengalaman dan pertemuan setiap hari. Kita boleh memberi pandangan yang kita lihat berlaku perubahan kerana ilmu ini tidak rigid dan berubah setiap hari. Jadi kita kena kejar pemahaman-pemahaman tersebut.
Macam kita bersyarah, apa yang berlaku di tahun 60-an atau 70-an, jika diulang sekarang, kita sudah dianggap ketinggalan. Sekarang zaman teknologi.
Kadang-kadang yang kita bersyarah tiga bulan lepas pun sudah tidak relevan pada hari ini. Kalau dia ada PhD sekalipun di tahun 90-an, tetapi kalau tidak menambah ilmu yang ada sekarang, akan ketinggalan juga.
- Dari pentas politik YB adalah seorang yang menjadi tarikan apabila mengadakan ceramah. Satu hari YB menjadi menteri. Pernah terfikir hal itu berlaku?
Saya tak terfikir akan menjadi menteri.
- Apa pengajaran daripada peristiwa itu?
Portfolio yang diamanahkan kepada saya iaitu Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab menjaga keamanan seluruh negara dan juga dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN). The Top 5 iaitu Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Ketua Angkatan Tentera, saya tidak sangka akan sampai ke peringkat itu.
- Bolehkah saya percaya Mat Sabu dari segi keselamatan negara?
Boleh. Sebab itu dalam perjuangan, saya tidak pernah terlintas untuk terlibat dalam mengangkat senjata atau bersetuju dengan puak yang mengangkat senjata melawan pemerintah, walau apa pun alasan, melainkan kita berperang dengan negara lain atau keadaan suasana yang lain.
Tapi saya yakin dengan perjuangan tangan kosong. Paling tinggi ialah berdemonstrasi di jalan raya untuk menyatakan hasrat kita.
Bila saya berada dalam MKN, kita boleh lihat mereka yang terlibat dengan usaha pergerakan bersenjata, juga dapat mengenal mereka dengan lebih cepat antara gerakan, tuntutan rakyat serta gerakan melibatkan senjata.
- Pengalaman YB sebagai Menteri Pertahanan, apakah YB rasakan we are better ready (kita lebih bersedia), tentera kita bersedia untuk hadapi sebarang kemungkinan. sebab ada cerita-cerita, kapal selam tak boleh tenggelamlah dan macam-macam lagi?
Saya boleh cakap ada kekuatan di pihak kita yang tiada pada pihak lain di ASEAN. Setiap negara ada kelemahan-kelemahan, tapi kekuatan pasukan keselamatan kita memang ada.
Tentera kita terlatih dan bersemangat tinggi terutama dalam perang dalam bentuk gerila. Latihan mereka memang berada di tahap cukup meyakinkan saya.
Semangat juang yang tinggi itu memang ada pada pasukan tentera kita. Saya beri jaminan hal kekuatan itu. Kekuatan peralatan dalam peperangan, ia jatuh nombor dua dan nombor tiga selepas semangat jitu yang kita katakan rela dan sanggup menghadapi suasana itu. Saya tak mahulah membandingkan dengan mana-mana, tapi dari sudut lasak itu ada di pihak kita.
- Banyak perbincangan lain dalam buku ini, antara lain ialah tentang isu rakyat. YB nampaknya banyak kali menyatakan bahawa dalam konteks isu rakyat, gerakan Islam atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sekarang, berbanding dulu amat kurang dari segi pembabitan dan aktiviti mereka. Apa komen YB?
Saya amat kesal dan tak tahu kenapa jadi begini. Saya melihat dari tahun 60-an, 70-an dan 80-an, kampus banyak dikuasai oleh golongan kiri atau yang kita panggil sebagai golongan leftist sama ada di Universiti Malaya (UM) iaitu daripada AMSU (Kesatuan Mahasiswa UM), institusi pengajian tinggi yang lain dan pensyarah-pensyarah.
Mereka mengetengahkan isu rakyat, Isu Baling, isu pekerja emas, isu Tasik Utara, isu Kampung Hamid Tuah (melibatkan) soal tanah dan sebagainya.
Ini perjuangan rakyat yang bergema dengan begitu hebat pada waktu itu termasuk isu pembalakan di Bangi. Pada masa itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hendak dibuka di situ.
Tahun 2000 ke atas, golongan Islamis mengambil balik gerakan pelajar dan juga pensyarah-pensyarah yang juga dari golongan Islamis tersebut. Isu rakyat macam mati.
Isu rasuah, penyelewengan dan pembaziran, misalnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak ditimbulkan oleh Islamis.
Sedangkan kita tahu dalam perjuangan untuk melahirkan pemerintahan Islam yang hebat, peranan ini dimainkan oleh ulama-ulama yang hebat seperti Imam Nawawi tetapi ia tidak berlaku kebelakangan ini.
Kebelakangan ini, yang bercakap isu rakyat adalah daripada golongan liberal seperti Mariam Mokhtar di London, Siti Kasim di Kuala Lumpur atau orang seperti mereka.
Atau pun pelajar yang cenderung kepada aliran seperti itu. Golongan Islamis macam mati, tidak peduli soal rasuah, penyelewengan dan pembaziran.
Saya setuju apabila mereka bercakap pasal soal pakaian pramugari, dari segi menutup aurat pekerja, itu saya setuju. Tetapi ia mestilah setimpal dengan perjuangan untuk bercakap soal penyelewengan dan rasuah.
Mana menteri ambil duit? Dalam menjadi menteri satu penggal, duit ada puluhan hingga ratusan juta, kenapa ia tidak menjadi isu?
Selalu saya menyebut satu ungkapan yang orang tidak suka mendengar. Al-Quran diturunkan di Makkah dan Madinah, dibaca di Kuala Lumpur dan sebahagian besarnya pelaksanaannya di Jepun. Ertinya Islamic behaviour (tingkah laku Islam) bukan dari soal fikahnya.
Bila disebut indeks Islam yang berlaku di dunia ini, soal keadilan sosial dan sebagainya, ia tidak berlaku di dunia Islam. Ia berlaku di Finland, New Zealand, bahkan dengan negara yang dekat dengan negara kita. Nombor lima terbaik dari sudut indeks rasuah di dalam dunia ialah Singapura.
Betapa majunya Singapura, betapa hebatnya negara itu kerana rasuah dalam negara mereka amat rendah. Menteri-menterinya majoriti orang bukan Islam. Perdana Menterinya bukan orang Islam.
Kita Perdana Menteri orang Islam, menteri-menteri ramai orang Islam tetapi indeks rasuah begitu tinggi. Kenapa Islamis tidak menjadikan ini sebagai isu perjuangan? Ini yang menghairankan saya.
Kalau orang cakap soal perjuangan Saidina Husein Ali Abi Thalib, ini syiah. Sedangkan Saidina Husein itu ialah cucu Nabi, ahli syurga yang memperjuangkan keadilan. Tetapi bila bercakap hal itu, ini syiah.
Jadi, bila pemimpin buat silap, mereka tidak boleh ditegur kerana sudah ada satu konsep orang-orang besar agama ini mempertahankan khalifah-khalifah. Perkara-perkara itulah yang datang pada kita sekarang ini.
Sebab itulah di dunia Islam terkenalnya kekayaan pemimpin-pemimpin, sama ada raja, presiden atau menteri tetapi negara dalam sudut pertahanan politik tak ada.
Sebab itu bila saya menjadi Menteri Pertahanan, saya melihat dari sudut ini dulu. Dalam jangka masa panjang bagaimana kita nak menjadi sebuah negara yang kuat, hebat dan menurut perintah ALLAH iaitu ‘menyediakan kekuatan sekadar yang kamu mampu termasuk kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh ALLAH dan musuh kamu’.
Ini tidak berlaku di dunia Islam melainkan saya nampak sekarang yang bersedia untuk mengkaji dan membuat perubahan baharu ini ada pada negara Iran. Mereka memang tumpukan untuk membuat kekuatan ini sama ada teknologi perubatan, teknologi dalam bidang pertahanan, teknologi dalam hal persekitaran.
- Baru-baru ini, sarjana akademik iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Mohamad Kamal Hassan menekankan dua hal yang sangat penting iaitu soal korupsi dan soal kemunafikan dalam kalangan pemimpin Melayu Islam. Tetapi dalam kalangan kita pula, pemimpin Islam ada yang mengatakan bahawa rasuah tidak mengapa. Apakah krisis fikiran mereka mengenai hal ini?
Saya amat setuju dengan hujah-hujahnya. Inilah penyakit yang ada dalam pemikiran yang ditanamkan. Kalau pilihan raya itu misalnya "Kalau nak undi tuan, apa yang kami dapat?”
Tidak pergi kepada apa yang nak dibawa oleh seseorang itu, tetapi bawa kepada apa yang dia dapat.
- Apakah boleh kita selamatkan keadaan ini?
Boleh tetapi sukar. Kena ambil masa dan ada satu revolusi pemikiran yang panjang.
- Kalau YB menjadi Perdana Menteri pada hari ini apakah keutamaan yang akan dibuat terlebih dahulu?
Pertama sekali kita akan bersama menguatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Itu yang utama. Yang keduanya, kita nak tekankan betul-betul soal isu perkauman ini.
Kita mahu orang Cina, Melayu dan India saling bergantung. Dalam Islam dia dipanggil berlumba. Bukan boikot.
Saya tidak berpuas hati sangat sekarang ini. Bila sebut workshop (bengkel) mesti sebut orang Cina. Mana perginya orang Melayu? Kenapa kita tidak mahu bersaing dengan mereka? Belajar dan bersaing supaya kita dapat membuka bengkel sehebat mereka.
Ini yang kita perlu ada bila macam kita kempen Buy Muslim First (BMF), tahan berapa hari? Bila nak balik Kelantan dekat nak raya semua hantar kedai bengkel Cina sebab bengkel Melayu terlampau sedikit kalau ada pun.
Ertinya daripada kita memboikot dan sebagainya, lebih baik kita berlumba dan mencari jalan. Ini yang perlu ditekankan soal hapuskan perfahaman assabiyah ini. Biar kita hidupkan semangat perlumbaan.
Klik di sini untuk terus membaca