SEBAGAI warganegara yang menghargai akauntabiliti dan kestabilan, saya ingin mengucapkan penghargaan serta tahniah kepada Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas kejayaannya untuk menggerakkan Rang... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAGAI warganegara yang menghargai akauntabiliti dan kestabilan, saya ingin mengucapkan penghargaan serta tahniah kepada Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas kejayaannya untuk menggerakkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijangka diluluskan oleh Parlimen pada Isnin ini.

Namun, berita bahawa Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan turut dipinda untuk memaksa Undang-undang Anti Lompat Parti ke atas semua negeri, sungguhpun ia tidak akan berkuat kuasa serta-merta menimbulkan rasa khuatir.

Mengapa saya menyokong Undang-undang Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan tetapi tidak di peringkat negeri?

Dua jenis Undang-undang Anti Lompat Parti dicadangkan untuk Malaysia – Undang-undang Anti Lompat Parti tradisional dan Undang-undang Anti Lompat Parti secara pemecatan (recall).

Undang-undang Anti Lompat Parti tradisional akan mengosongkan kerusi wakil rakyat yang melompat parti dan menyebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) secara automatik, manakala Undang-undang Anti Lompat Parti secara pemecatan memberi kuasa kepada pengundi menentukan sama ada wakil rakyat harus dipecat.

Jika secara pemecatan yang dicadangkan oleh Gabungan Bersih dan Ahli Parlimen Pengerang (UMNO), Datuk Seri Azalina Othman Said, PRK akan berlaku jika 40 peratus (atau sekurang-kurangnya separuh daripada peratusan mengundi yang lalu) pengundi berdaftar menandatangani petisyen dalam tempoh 21 hari untuk memecat wakil rakyat atas isu lompat parti, penyabitan kesalahan yang serius dan ponteng mencecah 50 peratus dalam enam bulan.

Perbezaan penting antara Undang-undang Anti Lompat Parti tradisional dan secara pemecatan ketara dalam dua jenis keadaan yang dikira sebagai lompat parti secara amnya.

PENGKHIANAT

Pertama, wakil rakyat dipecat daripada parti, bukan keluar parti secara sukarela. Jika mereka terlepas daripada PRK, maka pengkhianat boleh kekal dalam parti sebagai musuh dalam selimut sehingga dipecat dan Undang-undang Anti Lompat Parti seperti harimau tidak bertaring.

Kedua, parti melompat atau dipecat gabungan. Jika wakil rakyatnya terbebas, maka lompatan ala Bersatu dalam Langkah Sheraton akan tetap berlaku. Jika wakil rakyatnya dikosongkan kerusi, maka parti sudah hilang kebebasan mencari jajaran baharu.

Undang-undang Anti Lompat Parti tradisional merangkumi wakil rakyat yang dipecat dan mengecualikan parti yang melompat gabungan.

Di sebelah pihak, pemimpin parti boleh menyalahgunakannya untuk memecat pesaing dalam partinya daripada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memecatnya daripada parti. Di sebelah pihak, rakyat tidak dapat buat apa-apa terhadap parti yang melompat gabungan selepas pilihan raya.

Undang-undang Anti Lompat Parti secara pemecatan – biar rakyat tentukan sama ada wakil rakyat harus dipecat daripada Dewan apabila dipecat daripada parti atau partinya melompat gabungan. Maka, kerumitan diselesaikan dengan kehendak rakyat. Mudah sekali.

Undang-undang Anti Lompat Parti secara pemecatan tidak dipilih di Persekutuan kerana RUU oleh Azalina tidak berpeluang diperdebatkan dan ramai ahli Parlimen yang malas hendak mengkaji penyelesaian baharu.

Kita terpaksa menerima Undang-undang Anti Lompat Parti tradisional untuk menyekat gejala lompat parti oleh ahli Parlimen kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin berlaku dalam beberapa bulan ini dan ia dijanjikan dalam MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan berlaku bersama PRU15 untuk kebanyakan negeri, kenapa DUN-DUN tidak dibenarkan meneliti antara dua jenis Undang-undang Anti Lompat Parti dan memilih lebih sesuai dengan cita rasa mereka?

Kenapa perlu dipaksa Undang-undang Anti Lompat Parti tradisional yang nyata dua kecacatannya ke atas semua negeri?

* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca