SHAH ALAM - Keputusan pembangkang menolak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma bukan bermakna menyokong jenayah atau penjenayah. Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto, penjenayah harus dibawa ke... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan pembangkang menolak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma bukan bermakna menyokong jenayah atau penjenayah.

Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto, penjenayah harus dibawa ke muka pengadilan dan dihukum setimpal dengan jenayah dilakukan mengikut lunas undang-undang sedia ada tidak semestinya bergantung kepada satu undang-undang sahaja.

"Ada akta lain dan undang-undang yang boleh digunakan selain Sosma untuk mencegah aktiviti-aktiviti yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara misalnya Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah," kata Kasthuriraani kepada Sinar Premium.

Tambah beliau, Sosma yang wujud selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) mempunyai bahaya tersendiri iaitu boleh disalahgunakan oleh sesiapa sahaja keatas sesiapa sahaja tanpa semak-imbang pelaksanaan undang-undang ini.

Di bawah Sosma, tafsiran sebab yang boleh dikategori sebagai mengancam keselamatan negara adalah sangat luas dan menjadikan akta tersebut cenderung untuk disalah guna.

"Mana-mana individu boleh membuat aduan mengatakan seseorang itu ada kaitan dengan kumpulan radikal atau ekstremis atau menggugat keselamatan negara misalnya dan langsung mereka boleh ditahan di bawah Sosma tanpa bukti yang kukuh dan tanpa dihadapkan ke mahkamah.

"Menentang Sosma juga bukan bermakna ahli politik atau orang kenamaan perlu dilindungi tetapi ia satu undang-undang yang boleh disalah guna terhadap sesiapa sahaja malah anggota polis dan pegawai kerajaan juga tidak terkecuali.

"Pada saya, individu yang ditahan perlu dihadapkan ke mahkamah dan dibacakan pertuduhan sebaliknya di bawah Sosma soal siasat dilakukan setiap hari ditambah tempoh tahanan selama 28 hari , satu tempoh yang panjang tanpa dibawa ke mahkamah.

"Adakah ini adil? Bukankah perlu siasatan dan bukti untuk menahan dan mendakwa seseorang? Sosma langsung tidak memberi ruang untuk penahanan dilakukan selepas siasatan.

"Tangkap dulu, cari bukti kemudian. Jangan bila orang tersayang, ahli keluarga kita dicekup bawah Sosma baru kita rasa ia undang-undang zalim," ujarnya lagi.

Tegas Kasthuriraani yang mahu Sosma dimansuhkan, prinsip mana-mana negara demokrasi yang menjunjung kedaulatan undang-undang adalah seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah namun di bawah Sosma individu terus ditahan dan bukti akan dicari selepas itu.

"Saya mahukan negara Malaysia selamat tetapi bukan melalui Sosma, ketiadaan Sosma bukan bermakna negara akan kucar-kacir.

"Betapa kecilnya kepercayaan ahli Parlimen kerajaan terhadap sistem undang-undang lain yang ada di negara kita selain Sosma yang pada saya tidak berpelembagaan dan menentang hak untuk bersuara dan hak untuk dihadapkan ke mahkamah.

"Sebagai Ahli Parlimen kita perlu fikir apa sahaja yang diluluskan di Dewan Rakyat mempunyai impak besar terhadap demokrasi, keadilan, kebebasan dan keselamatan bukan sahaja negara tetapi warga marhaen," katanya.

TIDAK MAHU DITAHAN TANPA BICARA

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, pada dasarnya koalisi pembangkang Pakatan Harapan (PH) menolak usul melanjutkan Subseksyen 4(5) Sosma berikutan ramai ahli Parlimen berpandangan ia melanggar Perlembagaan daripada segi hak seseorang yang ditahan atau didakwa melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke mahkamah untuk pengadilan.

"Walaupun PH setuju perlu ada undang-undang kuat dan jelas untuk menangani jenayah terutama keganasan yang mana kini tertakluk di bawah Sosma namun masih ada peruntukan perundangan lain seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah contohnya yang boleh digunakan untuk menahan suspek," kata Fahmi.

Fahmi Fadzil

Berhubung tempoh penahanan reman selama 28 hari yang tidak terpakai susulan Subseksyen 4(5) Sosma yang tidak dilanjutkan, Fahmi berkata, terdapat peruntukan lain dalam undang-undang sedia ada yang membolehkan tempoh tahanan dilanjutkan.

"Harus diingat Sosma tidak terbatal sekadar subseksyen yang memerlukan Parlimen luluskan setiap lima tahun.

"Yang penting biarlah penahanan itu akhirnya menjadi kes yang dibawa ke mahkamah, kita tidak mahu seseorang itu ditahan tanpa bicara," ujar Fahmi

Klik di sini untuk terus membaca