[DI SEBALIK ISU] Malaysia harus menerima hakikat, lokasi strategik negara dalam lingkaran terrorisme rantau Asia Tenggara dan kemudahan telekomunikasi serta perbankan mendedahkan tanah air dengan ancaman pengganas. Kegagalan Dewan Rakyat... Klik di sini untuk terus membaca

[DI SEBALIK ISU] Malaysia harus menerima hakikat, lokasi strategik negara dalam lingkaran terrorisme rantau Asia Tenggara dan kemudahan telekomunikasi serta perbankan mendedahkan tanah air dengan ancaman pengganas.

Kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) iaitu penahanan suspek selama 28 hari menimbulkan kebimbangan ancaman pengganas dan juga jenayah terancang sukar dibendung pihak berkuasa.

Atas kesedaran itu, seorang peguam bebas di Johor, Norman Fernandez berkongsikan pendapat beliau mengapa Malaysia harus mempertahankan Akta Sosma, malah beliau menggesa ahli politik tidak memperjudikan keselamatan negara dengan mempertahankan penjenayah.

SOALAN - Apa reaksi awal anda susulan kegagalan Akta Sosma?

NORMAN: Harus saya katakan, amat mengecewakan apabila ahli politik gagal mengutamakan kepentingan negara sebaliknya politik, kepentingan diri dan sabotaj telah menang.

Paling mengecewakan apabila 86 ahli Parlimen mengundi menentang subseksyen 4(5) sementara 49 ahli Parlimen tidak hadir bagi mengundi pelanjutan subseksyen tersebut. Malah whip parti kerajaan juga gagal dalam tanggungjawab memastikan rang undang-undang kerajaan untuk melanjutkan subseksyen 4(5) diluluskan

- Mengapa Akta Sosma penting?

Pertamanya, kita mesti sedar bahawa Malaysia terletak di persimpangan dan lingkaran terorisme rantau Asia Tenggara di mana aktiviti seumpama itu amat berleluasa.

Indonesia misalnya kerap menyaksikan serangan pengganas dan setiap kali selepas serangan ia mengalami kerugian besar ekonomi selain turut mencemarkan imej negara.

Situasi juga sama di beberapa wilayah di Thailand sementara di Filipina pengganas malah mampu untuk waktu singkat mengambil alih sebuah bandar.

Malaysia, malangnya membekalkan hubungan udara, telekomunikasi dan sistem perbankan yang baik malah mempunyai kelebihan untuk mereka yang terlibat dalam aktiviti terorisme bergaul dalam kalangan masyarakat tanpa disedari.

Oleh itu, Malaysia dengan mudah boleh menjadi hub operasi untuk banyak kumpulan pengganas sama ada dalam atau luar negara, sama ada aktiviti keganasan mereka berfokus di luar Malaysia atau dalam negara.

- Adakah pasukan polis kita gagal untuk menghalang apa yang telah berlaku di tempat lain daripada berlaku di sini?

Kita harus berbangga dengan pasukan polis negara. Kita juga harus berterima kasih kepada pasukan polis kita dan pasukan keselamatan walaupun terdapat satu atau dua insiden namun masih mampu menjaga keselamatan negara dan rakyat. Statistik polis akan menunjukkan betapa bagusnya pihak polis telah bertindak.

Namun sebahagian besar kejayaan itu adalah disebabkan kepolisan kita yang berdasarkan strategi pre-emptive.

Ini amat berlainan daripada strategi reactive yang diamalkan sekian lama dalam kes di Indonesia.

Disebabkan strategi pre-emptive dan preventive (pencegahan) inilah pihak polis mampu membongkar sarang pengganas dan menahan suspek pengganas, penyokong mereka, pengikut malah pembekal perkhidmatan sebelum pengganas dapat melaksanakan serangan mereka.

Strategi pre-emptive inilah yang menghalang misalnya serangan keganasan di kuil Hindu terbesar di Kuala Lumpur.

Malaysia tidak mampu menanggung akibat sekiranya menjadi mangsa serangan pengganas kerana kesannya boleh menjejaskan negara dan ekonomi serta reputasi. Malaysia akan dilihat sebagai negara yang tidak selamat dan komuniti dunia mungkin menjadi Muslimphobia terhadap Malaysia.

Ini pastinya bukan sesuatu yang kita mahukan.

- Adakah akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) tidak mencukupi untuk digunakan menentang keganasan?

Tidak dinafikan, Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) mempunyai peruntukan berkaitan hukuman untuk penglibatan dalam terorisme dan Kanun Tatacara Jenayah mempunyai peruntukan berkaitan reman dan pertuduhan terhadap suspek, Akta Sosma pula pergi lebih lanjut untuk menyatakan tempoh tahanan suspek pengganas yang kebiasaannya lebih lama daripada yang diperuntukkan Kanun Prosedur Jenayah.

Anda mesti memahami, jenayah berkaitan keganasan adalah amat berbeza daripada jenayah lain. Ia memerlukan penyiasatan terperinci, teliti dan menyeluruh.

Perlu ada soal siasat mendalam, mendapatkan bukti yang memerlukan jaringan luas di seluruh negara, menahan semua yang terlibat dalam rantaian dan berhubung dengan pasukan keselamatan luar negara.

Semua ini tidak dapat dilakukan dalam waktu yang singkat - tidak untuk siasatan berkaitan keganasan, jika tidak siasatan menjadi tidak lengkap dan akhirnya menguntungkan suspek pengganas

Atas sebab inilah dalam kesalahan berkaitan pengganas, hampir mustahil untuk menyiapkan siasatan dalam 14 hari atau membenarkan reman tidak melebihi 14 hari.

Kerana itulah, Akta Sosma menyediakan tempoh reman 28 hari namun dikesali ia ditolak dan tidak disokong ramai ahli Parlimen.

- Adakah negara lain mempunyai tempoh reman lebih lama?

Ya, di Indonesia selepas pengeboman Bali dan Hotel Marriot, dan hanya selepas pengeboman gereja Surabaya, kerajaan akhirnya sedar bahawa undang-undang sedia ada tidak mencukupi dan undang-undang tersebut kemudian dipinda. Kini, suspek pengganas boleh ditahan reman selama 270 hari.

Di India, demokrasi terbesar di dunia yang juga menjadi mangsa serangan pengganas, suspek pengganas boleh ditahan reman selama 30 hari. Malah, seseorang itu boleh ditahan reman tanpa memberitahunya sebab penahanan. Bayangkanlah!

Sementara itu di United Kingdom, menahan reman seseorang atas kesalahan berkaitan keganasan selama 28 hari tidak melanggar hak asasi manusia.

Ahli politik seharusnya berhenti mencuba untuk mempertahan dan melindungi hak suspek pengganas yang tidak menghormati hak manusia.

- Adakah perundangan sedia ada tidak mencukupi?

Saya boleh katakan Malaysia telah mencapai kemajuan baik dalam menggubal undang-undang menangani anti-keganasan dan anti-pembiayaan keganasan.

Bagaimanapun, saya menyeru kerajaan untuk mencontohi Australia yang telah meluluskan tidak kurang dari 92 undang-undang anti-keganasan dan undang-undang berkaitan yang kebanyakannya diluluskan sebelum insiden 9-11.

Saya berpendapat bahawa Australia mempunyai salah satu daripada undang-undang anti-keganasan paling menyeluruh.

Mungkin kerajaan patut menjalankan kajian tentang undang-undang Australia dan melaksanakan perkara sama di Malaysia. Undang-undang tersebut ternyata berkesan di Australia dan ia merupakan salah sebuah negara paling selamat.

- Apakah cadangan anda kepada kerajaan?

Saya menyeru kepada kerajaan untuk membentangkan semula Akta Sosma pada sidang Parlimen paling awal atau lebih baik menggesa sidang Parlimen khas dan meluluskan Akta Sosma. Akta Sosma perlu diluluskan.

- Apa nasihat anda kepada ahli-ahli Parlimen

Utamakan keselamatan negara berbanding kepentingan politik dan diri sendiri. Bersama bersatu. Rakyat sedang memerhati. Utamakan keselamatan rakyat dahulu. Paling penting, saya berharap whip parti akan memastikan Akta Sosma tidak kecundang. Pihak pembangkang harus menyokong akta kerajaan ini.

Semua Ahli Parlimen harus ingat bagaimana pengeboman Easter di Sri Lanka memusnahkan sepenuhnya industri pelancongan negara itu dan sehingga ke hari ini Sri Lanka masih belum pulih.

Hakikatnya, mereka harus ingat kata-kata menyeramkan seorang pengganas, 'Anda harus selalu bernasib baik tetapi saya perlu bernasib baik hanya sekali sahaja'.

Klik di sini untuk terus membaca