SHAH ALAM - Tiga kali Malaysia bertukar perdana menteri dalam tempoh empat tahun, menggambarkan betapa Malaysia perlu segera menguatkuasakan Akta Anti Lompat Parti bagi mengelak ‘malapetaka’ lebih besar berlaku. Impak pertukaran Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiga kali Malaysia bertukar perdana menteri dalam tempoh empat tahun, menggambarkan betapa Malaysia perlu segera menguatkuasakan Akta Anti Lompat Parti bagi mengelak ‘malapetaka’ lebih besar berlaku.

Impak pertukaran Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir Mohamad selepas 22 bulan memerintah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (selama 17 bulan) sebelum disusuli Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mulai Ogos tahun lalu, cukup besar bukan hanya membabitkan soal politik semata-mata.

Malah, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga kini, seramai 39 ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik termasuk UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan Parti Warisan (Warisan) sudah ada yang melompat parti sama ada menyertai parti politik lain atau Bebas.

Disebabkan itu, UMNO menyokong penuh tindakan kerajaan mahu membentangkan pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen pada Isnin depan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO mempelopori pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti kerana mahu memastikan mandat diberikan pengundi tidak dikhianati oleh mana-mana wakil rakyat selepas menang pilihan raya atas tiket parti tertentu.

"Kita berharap dengan adanya Akta Anti Lompat Parti ini, maka tiada lagi isu wakil rakyat yang melompat parti dan mengkhianati mandat diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya nanti.

"Saya juga berharap supaya segala isu berbangkit mengenai RUU Anti Lompat Parti dapat dibincang dan dibahaskan secara terperinci di Parlimen pada Isnin ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik sebagai berkata, tiga perkara utama menyebabkan seseorang ahli Parlimen dikatakan melompat parti.

Pertama apabila seorang wakil rakyat yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain, maka ia dikirakan telah melompat parti.

Ini bertujuan untuk memastikan ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti masing-masing.

Kedua, jika seorang ahli Parlimen telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikirakan sebagai melompat parti.

Parti yang memecat ahli Parlimen pula akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula

Ketiga, tindakan lompat parti itu juga termasuk bagi Ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

Ini kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat kerana semasa pilihan raya, rakyat memilih ahli Parlimen itu disebabkan beliau bertanding sebagai calon bebas serta berkemungkinan menolak calon lain.

Klik di sini untuk terus membaca