SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar bersedia untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 April ini.
Menurutnya, apa yang telah berlaku sepanjang empat tahun ini terutama dengan wujudnya tiga kerajaan berbeza memberikan impak yang tidak baik kepada negara.
"Selepas apa yang kita lihat dalam tempoh 2018 sehingga sekarang, kita ada tiga kerajaan dan tiga individu sebagai perdana menteri. Ini bukan sesuatu yang baik untuk negara terutama untuk kepentingan rakyat dalam tempoh perkhidmatan lima tahun.
"Saya harap rakyat faham dan kita (ahli Parlimen) buat sesuatu yang terbaik untuk negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Bebas turut mahukan penjelasan mengenai beberapa perkara dalam draf tersebut yang perlu dibincangkan pada 11 April ini.
Menurutnya, maksud lompat parti itu juga perlu diterangkan dengan betul termasuk menjawab beberapa persoalan yang mungkin menimbulkan keraguan dalam kalangan ahli Parlimen.
"Saya memang ada beberapa persoalan mengenai draf tersebut terutamanya kalau seseorang ahli Parlimen itu dipecat adakah akan dianggap melompat parti. Jika beliau menjadi Ahli Parlimen Bebas sepatutnya tidak ada masalah.
"Selain itu, adakah akta berkenaan dikuatkuasakan untuk tempoh Parlimen sahaja? Selepas Parlimen dibubarkan, adakah akta ini diguna pakai lagi? Atau waktu itu ahli parti boleh buat pendirian sendiri untuk berada di parti mana.
"Saya tidak ada masalah dengan akta ini, tetapi beberapa persoalan ini perlu dijawab,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca