SHAH ALAM - Usul Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) boleh dikemukakan sekali lagi, namun harus mendapat kelulusan Parlimen sebelum tempoh kuat kuasa tamat pada 31 Julai nanti. Pakar Undang-Undang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Usul Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) boleh dikemukakan sekali lagi, namun harus mendapat kelulusan Parlimen sebelum tempoh kuat kuasa tamat pada 31 Julai nanti.

Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, tiada halangan untuk usul subseksyen itu dibentangkan semula untuk undian.

"Usul ketetapan itu boleh dikemukakan buat kali kedua namun ia perlu mendapat kelulusan Parlimen sebelum tempoh kuat kuasa berakhir pada 31 Julai depan bagi membolehkan ia dilanjutkan untuk lima tahun lagi,” katanya.

Tegas beliau, Seksyen 4(11) Akta Sosma menyatakan subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan jika, apabila semakan dibuat, suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.

Di bawah subseksyen 4(5), orang-orang yang ditangkap dan ditahan mengikut subseksyen 4(4) boleh bagi tujuan siasatan, dilanjutkan penahanannya untuk tempoh sehingga 28 hari oleh mana-mana pegawai polis yang berpangkat sekurang-kurangnya Penguasa Polis.

Selepas tempoh 28 hari tersebut, suspek hendaklah dibawa ke mahkamah di mana suspek boleh didakwa atau dibebaskan.

"Namun disebabkan subseksyen 4(5) tidak lagi dilanjutkan selepas tamat tempoh, maka sekiranya polis mahu menangkap dan menahan lebih dari 24 jam, maka perlu memohon perintah majistret bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

"Bergantung kepada majistret sama ada mahu menerima permohonan untuk melanjutkan tahanan atau tidak, dan untuk tempoh berapa lama. Paling lama majistret boleh bagi 14 hari,” jelasnya.

Untuk rekod, kali terakhir tambahan lima tahun bagi subseksyen tersebut disemak dan diluluskan oleh Parlimen ialah pada 4 April 2017.

Jelas beliau, kegagalan usul untuk melanjutkan subseksyen 4(5) bukan bermaksud Sosma ditolak atau dibatalkan sebaliknya Sosma masih berkuat kuasa.

Apa yang berlaku adalah hanya subseksyen itu tidak lagi berkuat kuasa selepas tamat tempoh pada 31 Julai nanti.

Klik di sini untuk terus membaca