SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melahirkan kebimbangan berhubung jenayah seksual terhadap kanak-kanak atau pedofilia yang semakin berkembang akhir-akhir ini.
Ini berikutan terdapat peningkatan carian internet membabitkan pornografi kanak-kanak.
Dipercayai pencarian tersebut dilakukan oleh golongan pedofilia yang ingin merangsang nafsu seksual diri mereka sendiri.
Penjenayah pedofilia itu kemudian didapati aktif mencari mangsa menerusi laman-laman sosial tanpa mengira jantina mangsa sama ada lelaki atau perempuan yang rata-rata berusia di bawah 13 tahun.
Pedofilia adalah satu istilah klinikal yang merujuk kepada seseorang yang mempunyai tarikan seksual yang tinggi terhadap kanak-kanak belum baligh, sesuatu yang ditegah oleh agama dan undang-undang.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan maklumat terdapat peningkatan ketara setiap tahun berhubung capaian laman web membabitkan perkongsian pornografi kanak-kanak.
"Saya melihat jenayah ini semakin berkembang dan harus ditangani secara serius kerana hari ini penggunaan teknologi internet, gajet dan lain-lain tidak terbatas dalam kalangan orang dewasa sahaja.
"Pada saya, ia pada tahap serius dan pada masa akan datang bakal menjadi jenayah yang berkembang. Kita khuatir ia akan jadi kelompok yang ramai. Jika tidak dibendung, golongan ini mampu membina komunitinya sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata, golongan pedofilia yang menyasarkan kanak-kanak didapati berjaya mempengaruhi pemikiran mangsa sehingga mangsa menjadi keliru dan cenderung untuk melakukan hubungan seksual songsang.
"Ancaman pedofilia ini mengakibatkan budaya tidak sihat dan bila kesan psikologi tidak normal, sampai satu masa itu akan mempengaruhi kitaran jenayah hingga gagal mengawal kehendak seksual,” ujarnya.
Apa yang dibimbangkan, kata Siti Kamsiah, penjenayah pedofilia tidak akan mudah berpuas hati dan sentiasa berimaginasi tinggi untuk meneroka perbuatan seksual yang lebih ekstrem.
"Ada golongan pedofilia yang melakukan seks bukan sahaja dengan kanak-kanak perempuan dan lelaki malah mereka juga tergamak melakukan perbuatan itu dengan bayi,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Siti Kamsiah meminta agar ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk mendidik anak mereka tentang kewujudan jenayah tersebut.
"Jadi dengan adanya kemudahan teknologi, peralatan komunikasi yang canggih dan pintar, kanak-kanak pada usia muda telah didedahkan komunikasi sebegini dan ibu bapa perlu didik anak bagaimana cara dan etika yang betul bagi berkomunikasi sama ada di media sosial atau secara bersemuka.
"Jika tidak didedahkan berkemungkinan anak-anak mudah dipengaruhi elemen negatif.
"Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak mereka kerana bahan-bahan negatif mudah diakses melalui gajet hingga mengakibatkan pengaruh yang tidak baik.
"Anak-anak perlu diingatkan supaya tidak berkongsi dengan sesiapa apa juga butiran peribadi termasuklah gambar tubuh badan dan seumpamanya. Perkara ini yang ibu bapa perlu ingatkan dan perlu berterus terang,” katanya.
Tegas Siti Kamsiah, impak ketagihan terhadap kanak-kanak secara seksual adalah sangat bahaya kerana ia mempengaruhi pemikiran dan memerlukan rawatan.
Klik di sini untuk terus membaca