SHAH ALAM - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) boleh dikekalkan dengan syarat ada penjenamaan semula dan penambahbaikan. Penolong Profesor, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC-IIUM), Dr Ahmad... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) boleh dikekalkan dengan syarat ada penjenamaan semula dan penambahbaikan.

Penolong Profesor, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC-IIUM), Dr Ahmad El-Muhammady berkata, penjenamaan semula boleh dilakukan menggunakan nama selain Sosma, namun intipati undang-undang tersebut masih boleh digunakan andai relevan.

"Penambahbaikan pula boleh dibuat bagi menekankan aspek pencegahan dalam konteks keganasan bukannya tangkapan dan pertuduhan semata-mata kerana kesalahan kecil seperti memiliki buku dan video pengganas.

"Atau sekiranya di peringkat awal radikalisme di mana pendekatan berbentuk pemulihan lebih berkesan daripada hukuman penjara selama bertahun-tahun,” jelas Ahmad.

Menurut beliau, kuasa menyiasat seperti dalam peruntukan Sosma itu perlu ada dan dikekalkan cuma ada beberapa peruntukan seperti soal bail-out perlu dipinda.

"Terdapat dua isu utama Sosma, pertama, individu disiasat tidak boleh diikat jamin, walaupun dalam proses rayuan.

"Soal tahan 28 hari itu tidak menjadi isu besar kerana dalam ISA dulu ia lebih pada itu, iaitu 60 hari. Kalau dikira, tempoh penyiasatan itu sudah dikurangkan dari 60 ke 28 hari.

"Yang menyebabkan tertuduh merasa hak mereka dinafikan – dikatakan melanggar hak asasi manusia adalah kerana mereka yang dituduh di bawah undang-undang ini tidak boleh diikat jamin walaupun dalam proses rayuan.

"Kerana tertuduh merasa sudah dihukum walaupun belum tentu bersalah,” katanya.

Keduanya, boleh berlaku kemungkinan penyalahgunaan kuasa misalnya atas motif politik.

"Ini juga kerisauan ahli politik yang pernah ditahan di bawah undang-undang ini. Perkara ini pernah berlaku.

"Jadi, pada pandangan saya, penelitian perlu dibuat untuk mengkaji undang-undang ini untuk melihat beberapa peruntukan yang ada kaitan dengan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia,” katanya yang turut menyatakan perlunya mekanisme mencegah penyalahgunaan undang-undang ini atau selective prosecution.Ahmad yang juga Felo Bersekutu International Center for Counter-Terrorism (ICCT)-The Hague, Netherlands berpendapat, walaupun Sosma perlu dipinda, pihak berkuasa masih ada undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) yang boleh membantu mereka dalam memastikan keselamatan negara terjamin

"Bentuk ancaman itu bukan saja dalam konteks keganasan, ia juga wujud dalam bentuk jenayah terancang, gangsterisme, kongsi gelap, dadah dan sebagainya."Justeru, negara kita memang perlu ada satu undang-undang ketat untuk menangani ancaman seperti ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca