SHAH ALAM - Kegagalan melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma kini memberi cabaran besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan siasatan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kegagalan melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma kini memberi cabaran besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan siasatan dalam masa hanya 14 hari.

Pakar Kajian Strategik & Keselamatan UniMAP, Profesor Madya Dr Mohd Mizan Aslam berkata, penolakan subsyeksen tersebut akan menyebabkan tempoh tahanan reman sehingga 28 hari tanpa kebenaran majistret bagi melengkapkan kertas siasatan akan terbatal berakhir pada 31 Julai.

"Ini bermakna sekiranya ada tangkapan di bawah Sosma selepas 31 Julai perlu menggunakan Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan perlu mendapatkan kebenaran majistret, tidak boleh melebihi 14 hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelas beliau, situasi tersebut boleh melibatkan mana-mana tangkapan berkait Bab VI Kanun Keseksaan (kesalahan terhadap negara), Bab VIA Kanun Keseksaan (kesalahan berkaitan keganasan), Bab VIB Kanun Keseksaan (kesalahan jenayah terancang), Bab IIIA Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015.

Mohd Mizan Aslam

"Ini bermakna risikan perlu diperkukuhkan dan tangkapan hanya dilakukan apabila telah diyakini kesalahan berserta pembuktian yang tepat. Jika tidak, tahanan perlu dibebaskan.

"Tangkapan selepas 31 Julai bukan lagi bersifat untuk memulakan kertas siasatan yang tidak lengkap, tetapi lebih kepada pengukuhan kepada apa yang diperinci dalam kertas siasatan sebelumnya,” katanya.

Persoalan adakah pasukan polis cukup kompeten untuk menangkap dan menyelesaikan kertas siasatan dalam tempoh 14 hari amat bergantung kepada kepakaran dan kecekapan PDRM.

"Beberapa inisiatif boleh dilaksanakan antaranya penambahan anggota polis yang khusus dalam menjalankan siasatan terperinci dan kes terkait terrorisme, jenayah terancang dan tindakan subversif.

"Keduanya, PDRM perlu mempunyai pelbagai peralatan canggih dan sofistikated sebagaimana polis luar negara terutamanya di Eropah.

"Dengan penggunaan teknologi ini akan menjadikan pengumpulan data dan maklumat menjadi lebih tepat dan menyeluruh,” kata Mohd Mizan.

Dalam pada itu, mengambil pengajaran susulan pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat pada tahun 2011 yang menyaksikan peningkatan aktiviti jenayah terancang, Mohd Mizan berpendapat, mekanisme undang-undang pencegahan seperti Sosma perlu ada untuk memastikan kestabilan dan keamanan negara.

"Sosma perlu dikekalkan kerana isunya melibatkan penolakan pelanjutan tempoh tahanan selama 28 hari bagi proses siasatan tanpa perlu dibawa ke mahkamah. Isu tempoh tahanan itu yang perlu ditambah baik,” katanya lagi.

Ujarnya, Sosma harus berfungsi mengelak negara terdedah kepada ancaman bahaya seperti aktiviti jenayah terancang dan keganasan serta bukannya untuk salah guna kuasa termasuk tangkapan bermotif politik.

Klik di sini untuk terus membaca