PADA 15 Mac setiap tahun, Pertubuhan Pengguna Antarabangsa atau Consumers International telah mengumumkannya sebagai hari hak pengguna peringkat antarabangsa. Tujuan sambutan setiap tahun adalah sebagai usaha menimbulkan kesedaran peringkat... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 15 Mac setiap tahun, Pertubuhan Pengguna Antarabangsa atau Consumers International telah mengumumkannya sebagai hari hak pengguna peringkat antarabangsa.

Tujuan sambutan setiap tahun adalah sebagai usaha menimbulkan kesedaran peringkat global mengenai keperluan untuk menghormati dan menjaga hak-hak pengguna.

Apakah hak-hak pengguna dan kenapa kita perlu sedar? Antara hak pengguna yang penting, pertama adalah hak untuk mendapat keperluan asas termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, penjagaan kesihatan, pendidikan, kemudahan awam yang baik, air dan sanitasi.

Semua perkara asas tersebut perlu ada pada harga yang dikawal untuk menentukan agar semua pengguna iaitu rakyat dapat meneruskan kehidupan yang memuaskan.

Yang kedua, hak mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat. Kata kunci yang penting adalah perkataan selamat. Tidak guna sekiranya dimaklumkan makanan keperluan pengguna itu ada tetapi makanan tersebut tidak selamat dimakan.

Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan atau proses pengeluaran yang boleh membahayakan kesihatan atau kehidupan mereka.

Sudah tentu dalam konteks tersebut, kerajaan telah menubuhkan pelbagai agensi kerajaan untuk menjaga dan melindungi pengguna.

Yang ketiga, hak untuk mendapat maklumat. Setiap pengguna berhak untuk diberitahu fakta-fakta seperti kandungan bahan dalam makanan tin dan sebagainya agar mereka dapat menilai serta membuat pilihan bijak.

Hak pengguna untuk menentukan agar semua bahan yang dibungkus atau ditinkan perlu ada label dengan kandungan disahkan selamat.

Yang keempat adalah hak membuat pilihan. Pengguna sepatutnya tidak boleh dipaksa oleh penjual untuk membeli apa yang mereka jual sahaja tetapi perlu memberi pilihan kepada pengguna menilai dan memilih pada harga terbaik sahaja untuk mereka.

Yang kelima, hak untuk menyuarakan pendapat. Pengguna berhak bersuara bagi memastikan kepentingan mereka diambil kira dan dilindungi agar pihak pengilang atau pengeluar tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas kekurangan pengetahuan pengguna mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Tiga hak yang terakhir adalah hak untuk mendapat ganti rugi, hak mendapat pendidikan pengguna dan hak untuk hidup dalam alam sekitar sihat serta selamat.

KITALAH PENGGUNA

Lapan hak pengguna itu penting untuk difahami semua pengguna. Siapakah pengguna tersebut? Kita semua rakyat dalam negara ini adalah pengguna.

Ada ketikanya pengeluar atau pengilang juga menjadi pengguna pada barangan lain yang mereka perlukan. Sebab itu,Malaysia ada undang-undang dan rakyat perlu tahu hak-hak mereka agar kualiti kehidupan terus dijaga.

Paling penting setiap tahun pada 15 Mac, kita perlu menjalankan kempen kesedaran mengenai hak-hak pengguna. Inilah masanya setiap tahun kita memperingati hak-hak pengguna agar tiada pihak yang masih sanggup memanipulasi untuk keuntungan mereka tanpa memikirkan tentang masyarakat.

Hari ini kita sering membaca mengenai harga barang semakin meningkat dan ada di sesetengah tempat dilaporkan ada beberapa bahan makanan sudah tidak ada lagi dalam stok.

Saya berharap pihak berwajib mengambil serius mengenai perkara tersebut terutama dalam bulan Ramadan ini.

15 Mac dipilih kerana pada tahun 1962 iaitu pada tarikh tersebut, Presiden John F Kennedy menghantar satu utusan khas kepada pihak Kongres Amerika Syarikat (AS) yang meminta agar anggota Kongres memberi perhatian tentang hak-hak pengguna di AS. Kennedy adalah pemimpin dunia pertama bersuara bagi pihak pengguna.

Mungkin tidak ramai tahu bahawa Presiden Consumers International pada masa itu dikenali sebagai International Organisation of Consumers Union (IOCU), pada 1983 ketika pertama kali hari ini disambut adalah seorang rakyat Malaysia bernama Datuk Seri Anwar Fazal. Sebagai presiden badan dunia tersebut, beliaulah orang yang mencadangkan agar 15 Mac dijadikan sebagai Hari Hak Pengguna Antarabangsa.

Semoga usaha beliau dalam menjaga hak pengguna akan dapat diteruskan oleh generasi akan datang dan pengguna di Malaysia akan terus dilindungi. Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca