SHAH ALAM - Berselindung di sebalik perwatakan baik sehingga mampu mempengaruhi mangsa adalah antara helah yang digunakan penjenayah pedofilia di negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, ada golongan pedofilia yang berstatus sebagai ahli agama, ustaz atau guru tuisyen.
"Pedofilia ini bila hendak mendekati kanak-kanak, mereka menggunakan identiti atau imej yang baik contohnya guru dan ahli agama.
"Imej ini mudah mendapat kepercayaan. Itu sebabnya berdasarkan kes yang dilaporkan, penjenayah seksual pedofilia ini ada terdiri daripada kalangan berstatus ustaz atau guru.
"Ada juga kes di Pulau Pinang dan ia masih dalam proses perbicaraan, kita percaya suspek warga asing ini adalah seorang pedofilia yang merupakan guru tuisyen.
"Mangsanya adalah kanak-kanak lelaki yang juga pelajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, terdapat kes yang dilaporkan tidak sampai kepada hubungan seksual secara fizikal namun ia tetap memberi kesan buruk kepada mangsa.
"Walaupun ada kes yang tidak melibatkan hubungan secara fizikal, ia adalah perbuatan yang serius dan jika perkongsian gambar atau video tular, ia akan menyebabkan kanak-kanak itu trauma.
"Malah, ia juga memberi kesan kepada psikologi kepada mangsa untuk melakukan aktiviti seksual sehingga ketagihan dan melakukan hubungan seksual. Itu peringkat yang serius.
"Penghujungnya, ia boleh ke tahap melakukan hubungan seksual yang akhirnya menimbulkan kes jenayah lain seperti kes buang bayi dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa punca utama yang dikenal pasti menjadi pencetus bagaimana seseorang individu itu menjadi seorang pedofilia.
"Pertama, seseorang itu mungkin secara semula jadi ada sifat dan naluri kecenderungan seksual sebegitu selain faktor sejarah lampau di mana dia pernah menjadi mangsa seksual orang dewasa hingga membentuk nalurinya untuk menjadikan kanak-kanak sebagai pemuas nafsu.
"Berkemungkinan juga aktiviti seseorang yang gemar menonton video lucah kanak-kanak sehingga ada tarikan dan membentuk tingkah laku sebegitu,” katanya.
Jelas beliau, turut mengejutkan golongan pedofilia juga terdapat dalam kalangan wanita."Kita ada terima kes di mana suspek adalah wanita yang merupakan pengurus yang menguruskan aktiviti seni kanak-kanak lelaki.
"Namun, kes sebegini sudah tidak dikesan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini.
"Bagaimanapun, kes yang melibatkan pelaku lelaki dan mangsa adalah kanak-kanak lelaki, itu ada dilaporkan,” katanya.
PENJENAYAH SEKSUAL CARI MANGSA DI FACEBOOK
Dalam pada itu kata Siti Kamsiah, setakat ini pihak polis mendapati golongan pedofilia bergerak secara individu.
Mengulas modus operandi golongan itu, Siti Kamsiah mendedahkan pada peringkat awal, golongan pedofilia akan mencari mangsa di media sosial seperti Facebook dan Instagram sebelum beralih ke medium yang lebih privasi selepas berkenalan.
Suspek turut menggunakan kata-kata manis dengan memuji mangsa sehingga akhirnya terperangkap dan menjadi pasangan kekasih. Suspek juga memberikan pelbagai ganjaran dan hadiah seperti permainan dalam talian.
"Ini lebih kepada pendekatan yang lembut seperti memujuk dan memperdaya kerana mangsa adalah kanak-kanak.
"Suspek akan dapatkan kepercayaan mangsa dengan berbuat baik hingga kanak-kanak ini rapat dengannya agar senang dipujuk dan seronok dengan perlakuan seksual yang dilakukan.
"Kemudian, barulah suspek akan kawal mangsa agar boleh terima perlakuan seksual sebagai perkara yang normal dan pengaruhi kanak-kanak itu sehingga percaya apa yang dilakukan itu adalah satu benda yang tidak salah.
"Puncaknya adalah apabila kanak-kanak itu menganggap tidak apa melakukan hubungan seks kerana itu adalah perkara normal.
"Inilah yang akan dilakukan golongan pedofilia dengan mempersiapkan kanak-kanak tersebut. Ia seperti asuh kanak-kanak dengan tarikan seksual,” katanya.
Tambah Siti Kamsiah, sepanjang tempoh itulah mangsa akan berkongsi gambar atau video lucah dengan berbogel.
Ujar beliau, terdapat kes apabila kanak-kanak terbabit menyedari dirinya dieksploitasi untuk perlakuan tersebut dan mahu keluar daripada kawalan suspek sehingga jadi mangsa ugutan jika tidak mengikut kehendaknya.
"Bila satu tahap kanak-kanak itu sedari dan tidak selesa, suspek biasanya akan menggunakan ugutan untuk menyebarkan gambar atau video.
"Ini bertujuan untuk terus kawal kanak-kanak ini agar terus terikat,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca