SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma adalah lebih baik berbanding penahanan pencegahan (preventive detention) seperti Akta... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma adalah lebih baik berbanding penahanan pencegahan (preventive detention) seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

"Sosma adalah lebih baik kerana ia melibatkan kes-kes dalam Kanun Keseksaan seperti kes-kes keselamatan dan jenayah berbanding ISA, di mana selepas tamat tempoh tahanan untuk siasatan oleh pihak polis, akan dikeluarkan perintah tahanan oleh pihak menteri tanpa dibicara di mahkamah.

"Sama juga dengan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang tidak mempunyai peruntukan untuk perbicaraan,” kata Musa kepada Sinar Premium.

Jelas beliau, di bawah Sosma, orang kena tuduh perlu dituduh dan dihukum di atas kesalahan dilakukan di mahkamah dan ia lebih adil.

Musa

Sosma adalah undang-undang prosedur bagi menyiasat kes-kes yang mengancam keselamatan negara seperti termaktub dalam Kanun Keseksaan antaranya kes-kes melibatkan keganasan dan terrorisme, jenayah terancang dan juga kes-kes berkaitan penyeludupan manusia.

Di bawah peruntukan Subseksyen 4(5) Akta Sosma, pihak polis boleh menahan orang kena tuduh untuk siasatan dalam tempoh 28 hari. Sekiranya siasatan menunjukkan wujud kesalahan, orang kena tuduh akan dituduh di mahkamah, jika tiada keterangan maka akan dibebaskan.

Namun apabila subseksyen terbabit gagal dilanjutkan, ia mengakibatkan pihak polis tidak akan dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan teliti.

"Hal itu sekali gus boleh mengakibatkan anasir-anasir yang ingin mengancam negara bergerak bebas dan membahayakan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.Sebelum wujud Sosma, kes-kes yang mengancam keselamatan terletak di bawah ISA dan siasatan dibuat, akhirnya ditahan menggunakan kuasa eksekutif.

Tegas Musa, tempoh tahanan 28 hari adalah amat kritikal kepada pasukan polis bagi mengumpulkan keterangan untuk pertuduhan di mahkamah.

"Dalam kes terrorisme, jenayah keganasan, jenayah terancang dan penyeludupan manusia selalu didalangi secara berkumpulan atau sindiket. Oleh itu, pihak polis perlu masa yang secukupnya untuk siasat.

"Antaranya untuk kenal pasti ahli kumpulan, peranan setiap ahli kumpulan dan kegiatan mereka, mengenal pasti mereka yang memberi sokongan atau kewangan kepada kumpulan berkenaan dan tujuan kumpulan ini diwujudkan serta hubungan mereka dengan individu atau kumpulan lain di luar negara,” ujarnya.

Berbanding ISA, seseorang suspek boleh ditambah tempoh tahanan dengan arahan menteri tanpa dibicara di mahkamah.

Disebabkan faktor-faktor tersebut, pihak polis perlukan masa yang panjang untuk menyiasat supaya bukti kukuh dapat dikemukakan bagi perbicaraan di mahkamah.

Musa juga melihat senario kegagalan 49 ahli Parlimen menghadirkan diri ketika sesi undian sebagai tidak peka terhadap keselamatan negara dan rakyat kerana berkemungkinan mempunyai agenda tersendiri.

"Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat memilih wakil mereka di Parlimen untuk menentukan polisi dan undang-undang digubal untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara.

"Undang-undang adalah perlu agar kerajaan dapat mentadbir negara dengan betul untuk kepentingan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, undian belah bahagi Dewan Rakyat menyaksikan hanya 85 ahli Parlimen menyokong berbanding 86 tidak menyokong, manakala 49 lagi tidak hadir sekali gus menggagalkan usul ketetapan melanjutkan subseksyen 4(5) Akta Sosma untuk tempoh lima tahun lagi.

Klik di sini untuk terus membaca