SHAH ALAM - Kegagalan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara parti membentuk kerajaan sekarang mungkin menjadi punca utama pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat seperti dijadualkan pada Isnin ini, terpaksa ditunda.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau percaya pembentangan RUU Akta Anti Lompat Parti terpaksa ditunda kerana ramai anggota kabinet tidak bersetuju dengan cadangan penguatkuasaan akta baharu berkenaan.
"Kalau anggota kabinet yang terdiri daripada pemimpin pelbagai parti tidak menyokong pembentangan RUU Anti Lompat Parti ke Parlimen, maka ia melanggar semangat MoU ditandatangani mereka sebelum ini. Jadi bagi saya dalam bahasa kasar politik 'MoU berkenaan sudah ke laut' atau tiada faedah.
"Kalau semua anggota kabinet sebulat suara sudah bersetuju mengenainya saya pasti RUU Anti Lompat Parti berkenaan akan dibentangkan di Parlimen, pada Isnin depan. Walaupun, saya tiada dalam kabinet sekarang, namun saya boleh menghidu punca sebenar kenapa RUU berkenaan tidak jadi dibentangkan di Parlimen," ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.
Sebelum ini media melaporkan kabinet tidak mendapat kata sepakat, malah, tidak bersetuju dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin ini.
Wan Junaidi dalam satu kenyataan berkata, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas yang telah ditetapkan sebelum ini bagi membuka ruang melanjutkan kajian mengenai definisi ‘lompat parti’
Sementara itu, Ahmad berkata, beliau pelik kenapa kerajaan mengambil keputusan untuk menunda tarikh pembentangan RUU berkenaan biarpun majoriti parti politik termasuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH) sudah menyatakan komitmen untuk menyokong usul terbabit.
Malah, Ahmad berkata, Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini memutuskan untuk memberikan sokongan penuh terhadap cadangan pelaksanaan undang-undang terbabit seperti usul dipersetujui oleh perwakilan.
Berikutan itu, Ahmad berkata, tidak timbul isu bahawa UMNO menentang pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat, pada Isnin nanti.
"Jadi kita mahu tahu parti mana dalam kerajaan pimpinan yang tidak menyokong pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dilakukan di Dewan Rakyat pada Isnin ini.
"UMNO memang amat terkesan dengan isu lompat melompat ini kerana ada empat Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) melompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 15 Ahli Parlimen melompat masuk Bersatu dan satu melompat ke Parti Warisan Sabah, selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
"Tindakan empat ADUN dan 16 Ahli Parlimen UMNO melompat dan menyertai Bersatu dan Warisan memang memberikan implikasi besar kepada parti berkenaan. Jadi tidak timbul soal UMNO menentang pembentangan RUU berkenaan di Parlimen pada Isnin ini," katanya.
Berikutan itu, Ahmad mendesak kerajaan supaya tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai punca sebenar pembentangan RUU berkenaan terpaksa ditangguhkan sekali lagi.
"Saya berharap kerajaan dapat memberikan yang memuaskan kepada Ahli Parlimen dalam sesi taklimat khas yang dijangka diadakan di Putrajaya pada petang Ahad ini.
"Kita juga akan bertanya kepada Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 14 April ini mengenai apa sebenar berlaku sehingga pembentangan RUU berkenaan ditangguhkan sekali lagi," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca