Muka Mat Taici tiba-tiba menjadi pucat kerana terkejutnya selepas mendapati status MySejahtera pada telefon pintar bertukar menjadi merah dan tertulis 'Confirmed Case - CAT 1' hari ini.Manakan tidak, ini kerana Mat Taichi tidak menjalani... Klik di sini untuk terus membaca
Muka Mat Taici tiba-tiba menjadi pucat kerana terkejutnya selepas mendapati status MySejahtera pada telefon pintar bertukar menjadi merah dan tertulis 'Confirmed Case - CAT 1' hari ini.

Manakan tidak, ini kerana Mat Taichi tidak menjalani sebarang ujian saringan Covid-19 sama ada PCR di klinik mahu pun secara kendiri RTK-ag dalam tempoh sehari dua ini.

Tambahan pula, setakat ini Mat Taichi tidak mengalami sebarang simpton sama ada batuk, demam, selesema, sakit tekak mahu pun hilang selera makan seperti dialami kebanyakan individu disahkan positif Covid-19.

Mat Taichi bukan takut dijangkiti Covid-19, namun fobia kerana pernah berkurung di dalam bilik seorang diri di rumah selama hampir sebulan berikutan menjadi kontak rapat dan didapati positif wabak terbabit, baru-baru ini.

Namun, nasib baik Mat Taici tidak cepat panik dan cepat berfikir serta membuat eksperimen dengan menekan ikon 'update' dalam aplikasi MySejahtera sekali gus menyebab status 'merah' berkenaan hilang.

Kalau status MySejahtera tidak bertukar semula ke warna putih terpaksalah Mat Taici minta kebenaran daripada majikan untuk bekerja dari rumah sama seperti selepas disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

Oleh itu, Mat Taici berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat melakukan penambahbaikan dan menaik taraf aplikasi MySejahtera supaya masalah sama tidak menimpa orang lain, tambahan pula kerajaan sudah berbelanja berpuluh juta untuk membangunkan kemudahan berkenaan.

Dalam masa sama, Mat Taici juga dikejutkan dengan berita di media sosial kononnya kerajaan akan mengenakan denda RM100,000 kepada mana-mana individu yang memakai pelitup muka tanpa perakuan atau cap MS SIRIM.

Namun, apabila Mat Taici menyemak kenyataan asal dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) rupanya denda beratus ribu berkenaan dikenakan kepada pengilang, pemborong dan penjual bukannya pengguna seperti dicanang pihak tertentu di media sosial.

Menurut kenyataan dikeluarkan KPDNHEP pada Selasa lalu juga menyebut penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian.

Bagi Mat Taici kerajaan berbuat demikian demi melindungi pengguna sebenarnya kerana ramai pengguna secara sedar atau tidak sedar dijangkiti kerana menggunakan pelitup muka tidak menepati piawaian.

Cuma sedikit pelik dan menjadi persoalan, kenapa selepas dua tahun? Bukan tahun 2020, dan juga bukan tahun 2021sewaktu kes paling tinggi dan merebak dengan meluas. Adakah pada ketika itu pihak berkuasa terlibat tidak terfikir langsung?

Apa pun alasan pihak berkuasa, harapnya biarlah munasabah dan dapat menenangkan hati rakyat. Betul kata orang 'better late then never', tapi sebab bila melibat hukuman dan denda, pastilah banyak suara-suara yang tidak gembira serta mempertikaikan, kenapa baru sekarang? Klik di sini untuk terus membaca