SHAH ALAM - Tindakan mewajibkan pelitup muka bukan perubatan perlu mendapatkan perakuan dan cop MS SIRIM dipersoalkan kerana ia dikuatkuasakan selepas lebih dua tahun pandemik Covid-19 dan negara sekarang berada dalam peralihan fasa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan mewajibkan pelitup muka bukan perubatan perlu mendapatkan perakuan dan cop MS SIRIM dipersoalkan kerana ia dikuatkuasakan selepas lebih dua tahun pandemik Covid-19 dan negara sekarang berada dalam peralihan fasa endemik.

Pakar Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, persoalan juga timbul dari segi penggunaan pelitup muka fabrik yang dijahit sendiri kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini membenarkannya dalam keadaan tertentu.

Katanya, tanda tanya juga timbul bagi lebihan pelitup muka bukan perubatan yang tiada cop MS SIRIM sama ada ia perlu dibuang.

"Pada pandangan saya secara peribadi, saya tidak melihat ia (pelitup muka perlu ada cop MS SIRIM) satu isu yang besar kerana dari sudut kesihatan awam, KKM juga membenarkan orang awam memakai pelitup muka fabrik yang dijahit sendiri.

"Kalau dibuat sendiri, saya rasa tidak ada keperluan untuk mendapatkan penandaan MS SIRIM itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Selasa lalu, media melaporkan semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd berkuat kuasa 4 Julai depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataannya berkata, ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Mengulas lanjut, dari sudut kesihatan awam, Dr Malina berkata, beliau sebenarnya mengharapkan penguatkuasaan itu dilakukan semasa kes melonjak atau wabak memuncak dahulu.

"Waktu kes memuncak sebelum ini kita masih belum pasti apa langkah tambahan yang perlu dibuat untuk bantu kekang penularan jangkitan termasuk dari segi penggunaan pelitup muka yang berkualiti.

"Tetapi kita dapati dengan aktiviti pendidikan kesihatan dan promosi yang dilakukan ia berjaya mendidik masyarakat dan mereka faham serta mengambil langkah tepat untuk mengelakkan diri mereka dijangkiti terutama dengan memakai pelitup muka dan mengambil vaksin,” ujarnya.

Secara umumnya, beliau menegaskan, langkah-langkah yang diambil KKM terutama mewajibkan pemakaian pelitup muka dan pemberian vaksin telah berjaya mengekang dan menyelamatkan sistem kesihatan walaupun negara berdepan dengan pelbagai varian Covid-19.

"Jadi sebenarnya tidak timbul isu sama ada pelitup muka yang digunakan sebelum ini berkesan ataupun tidak walaupun secara asasnya, dari segi penjualan kita tidak nafikan memang perlu ada satu penanda aras bagi menandakan sesuatu produk itu berkualiti.

"Soal kedua yang saya ambil berat adalah dari segi harga pelitup muka selepas cop ini dikuatkuasakan kerana apabila perlu menggunakan bahan tertentu dan melalui proses tertentu sudah tentu ia akan menyebabkan berlaku kenaikan harga,” tambahnya.

Oleh itu, Dr Malina berharap pemantauan dapat dilakukan KPDNHEP kerana apa-apa kenaikan harga semestinya akan membebankan pengguna lebih-lebih lagi orang ramai ketika ini berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan yang lain selain sedang menjalani ibadah puasa dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha nanti.

Beliau menegaskan, sebarang keperluan pengurusan wabak juga sepatutnya perlu dilakukan seiring dengan masa iaitu tindakan pantas perlu dilakukan ketika situasi semasa sangat memerlukan.

"Kita berharap tidak ada lagi wabak berlaku pada masa akan datang, cuma kalau ia berlaku KPDNHEP umpamanya juga perlu bertindak dengan cepat dan pantas. Tindakan yang dibuat juga perlu seimbang dengan mengambil kira keadaan semasa masyarakat,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca