SHAH ALAM - Keputusan kerajaan yang mengarahkan semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM pada bungkusan produk masing-masing berkuat kuasa 4 Julai depan mencetuskan pertikaian ramai.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata pengguna melahirkan kebimbangan sekiranya harga pelitup muka bukan perubatan itu meningkat secara mendadak di pasaran.
Salah seorang pekerja swasta, Nurul Fatin Aika Abdul Aziz, 25, berpendapat, apabila melalui proses mendapatkan perakuan atau penandaan MS SIRIM, syarikat terbabit perlu mengeluarkan kos yang lebih dan ia sudah tentunya akan memberi kesan kepada peningkatan harga jualan produk.
"Jadi saya memang bimbang jika perkara ini berlaku. Ditambah pula dengan keadaan rakyat yang masih lagi terjejas dengan pendapatan akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Selasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan memaklumkan, semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd berkuat kuasa mulai 4 Julai ini.Ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Bagi Norhidayah Abdullah, 26, pula, dia mempersoalkan mengapa pewartaan itu diajukan serta dilaksanakan sekarang berikutan tempoh pandemik Covid-19 telah berlaku hampir dua tahun.
Katanya, pewartawaan tersebut seharusnya melihat kepada sasaran pengguna di Malaysia yang mempunyai jurang pendapatan.
"Bagi pengguna yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan, pewartaan ini bukan masalah besar bagi mereka. Namun, perakuan dan penandaan MS SIRIM ini sudah pasti melibatkan perubahan kos pengilangan yang menjadi tambahan kos pengeluaran sedia ada.
"Perkara ini juga dilihat sebagai faktor yang bakal mengurangkan bekalan produk dalam pasaran berikutan berlaku perubahan sumber serta sekatan seperti yang dinyatakan,” katanya.
Mohd Khairuddin Mahadi, 34, turut melahirkan kerisauan sekiranya harga jualan pelitup muka bukan perubatan itu mencecah tinggi.
"Kita tidak mahu perkara sama berlaku di mana pernah sebelum ini harga pelitup muka bukan perubatan mencecah lebih RM20.
"Ini secara tidak langsung akan membebankan rakyat yang kurang berpendapatan,” katanya.
Bagaimanapun, seorang lagi pekerja swasta, Muhammad Aiman Hafiz Razali, 21, menyambut baik pelaksanaan tersebut bagi tujuan memastikan keselamatan individu dari dijangkiti Covid-19, selain mengelakkan lambakan pelitup muka yang tidak berkualiti di pasaran.
Klik di sini untuk terus membaca