RUSIA kini didapati tidak lagi mahu merebut bandar raya Kiev tetapi masih melakukan serangan di bahagian timur dan selatan Ukraine selepas bertindak menceroboh di negara tersebut sejak 24 Februari lalu atas arahan Presidennya, Vladimir... Klik di sini untuk terus membaca

RUSIA kini didapati tidak lagi mahu merebut bandar raya Kiev tetapi masih melakukan serangan di bahagian timur dan selatan Ukraine selepas bertindak menceroboh di negara tersebut sejak 24 Februari lalu atas arahan Presidennya, Vladimir Putin.

Walaupun tentera Rusia berdepan dengan tentangan daripada penduduk Ukraine dalam pertempuran di negara berkenaan tetapi Moscow mempunyai banyak sasaran yang memungkinkan konflik itu berpanjangan sehingga menyebabkan berlaku lebih banyak kematian dan kehancuran.

Ketika awal serangan tersebut, terdapat dakwaan bahawa Putin akan beroleh kejayaan mudah untuk menguasai Ukraine namun sehingga kini ia masih belum dapat menawan negara berkenaan walaupun lebih sebulan tentera Rusia bertempur di dalam peperangan tersebut.

Terdapat juga dakwaan bahawa Rusia mahu mendapatkan kemenangan di negara berkenaan pada 9 Mei depan dan merupakan tarikh yang tercatat dalam sejarah dunia bahawa Moscow berjaya menumpaskan pihak Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua yang berlaku sebelum ini.

"Putin taksub dengan tarikh dan sejarah simbolik. Jadi, beliau sangat memerlukan kemenangan sebelum 9 Mei depan,” kata Alexander Grinberg iaitu penganalisis di Institut Keselamatan dan Strategi Baitulmaqdis (JISS).

MARIUPOL MASIH DIKEPUNG

Bagaimanapun, Sergei Karaganov yang merupakan Pengerusi Kehormat Majlis Moscow Untuk Dasar-Dasar Pertahanan dan Hal Ehwal Asing serta pernah menjadi penasihat Moscow berkata, Rusia tidak mampu untuk kalah menyebabkan ia memerlukan kemenangan dalam pertempuran di Ukraine.

"Pertaruhan golongan elit Rusia adalah sangat tinggi. Bagi mereka ia adalah perang eksistensial," katanya kepada akhbar mingguan British The New Statesman baru-baru ini seperti dilaporkan oleh AFP.

Rusia masih gagal untuk mengusai Ukraine dengan sepenuhnya. - Foto AFP

Walaupun tentera Rusia kelihatan semakin menjauhi Kiev dan kawasan lain di utara, Rusia tidak membuat sebarang pergerakan pengunduran tenteranya di sekitar bandar tenggara Mariupol yang telah dikepung selama berminggu-minggu sekali gus dianggap menentang bantahan daripada masyarakat antarabangsa.

Merampas Mariupol akan menjadi langkah penting bagi Rusia dalam merealisasikan matlamatnya yang jelas untuk mengawal wilayah yang menghubungkannya dengan Semenanjung Crimea yang sebelum ini diperoleh oleh Moscow pada tahun 2014.

Di sebelah utara terletak dua wilayah iaitu bandar Donetsk dan bandar Lugansk yang pro-Rusia dan dengan menawan kedua-dua bandar itu akan memberikan Moscow kawalan di wilayah di timur Ukraine.

Dengan menawan Mariupol, tentera Rusia boleh menuju ke utara untuk menguasai seluruh wilayah Donbas dan mempunyai kawalan berterusan di selatan Ukraine dan pantai Laut Azov, kata Pierre Razoux iaitu Pengarah Akademik Yayasan Mediterranean untuk Kajian Strategik yang memberitahu AFP.

Wilayah Donetsk dan Lugansk yang berpisah tetapi diiktiraf bebas oleh Rusia pada bulan Februari lalu.

Peta menunjukkan lokasi serangan dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Namun, Moscow telah menegaskan bahawa kedua-dua wilayah tersebut perlu mempunyai kuasa pentadbiran yang sepenuhnya dari Ukraine dan ia merupakan tujuan utama kenapa Rusia menyerang negara berkenaan.

"Perang masih belum selesai dan masih boleh mengubah cara Rusia jika tentera Rusia dapat melancarkan operasi yang berjaya di timur Ukraine," kata penganalisis di Institut Kajian Perang (ISW).

Rusia baru-baru ini melancarkan serangan di pelabuhan Barat Odessa dan sumber Barat tidak pernah menolak serangan amfibia ke atas bandar itu.

"Jika gencatan senjata dilaksanakan di bawah prinsip kekalkan apa yang anda pegang, Rusia boleh mengekalkan pegangannya ke atas beberapa bahagian baharu Ukraine," kata Ivan U. Klyszcz yang merupakan mahasiswa lepasan ijazah dan calon ijazah kedoktoran dalam Perhubungan Antarabangsa di Universiti Tartu, Estonia.

Pencerobohan itu telah membuktikan kos yang besar untuk Rusia dari segi kehilangan manusia dan kemusnahan perkakasan peralatan ketenteraan dalam menghadapi tentangan daripada Ukraine.

"Perang masih jauh dari berakhir," kata Gustav Gresse iaitu Felo Kanan di Majlis Perhubungan Luar Eropah (ECFR). - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca