SHAH ALAM - Kerajaan wajar membantu rakyat yang kini tertekan dan terkesan dengan kenaikan harga barangan. Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak berkata, isu kenaikan harga barang memang tidak dapat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan wajar membantu rakyat yang kini tertekan dan terkesan dengan kenaikan harga barangan.

Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak berkata, isu kenaikan harga barang memang tidak dapat dielakkan dan ia terjadi di kebanyakan negara termasuk di United Kingdom.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan boleh mengurangkan tekanan dengan membantu rakyat dengan menaikkan perolehan kerajaan.

"Tetapi, kita perlu melihat dari segi kemampuan kerajaan untuk menolong orang susah. Saya fikir, kalau kita nak kerajaan memberi dan menolong dengan lebih, kita juga kena melihat bagaimana kerajaan boleh dapat duit.

"Justeru, kerajaan perlu menyemak kembali kepada sistem percukaian di negara ini jika ingin menangani isu kenaikan harga barangan sehingga menyebabkan rakyat terkesan.

"Saya ingat, banyak perubahan yang perlu dilakukan untuk menaikkan perolehan kerajaan, seterusnya membolehkan kerajaan memberikan pertolongan yang lebih besar untuk golongan yang memerlukan,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Nazir pernah mengutarakan saranan agar kerajaan mempertimbangkan cadangan mewujudkan cukai ‘durian runtuh’ kepada golongan kaya atau T20.

Jelas beliau, sudah tiba masanya sistem percukaian dinilai kembali agar berupaya menyeimbangkan kesan buruk krisis Covid-19 terhadap ekonomi negara.

Selain itu, Nazir berkata, kerajaan juga sewajarnya mengenakan cukai yang lebih kepada syarikat-syarikat gergasi seperti perusahaan sarung tangan bagi membantu rakyat.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui agak sukar untuk kerajaan mengawal harga makanan yang telah dimasak berbanding barangan mentah berikutan tiada garis panduan berhubung perkara itu setakat ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

Klik di sini untuk terus membaca