ADA orang suka tinggal di kampung kerana lebih tenang, yang lain memilih bandar kerana banyak kemudahan dan senang cari makan.
Persoalannya, gembirakah anda di tempat tinggal sekarang dan bolehkah kegembiraan itu diukur?
Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia) baru-baru ini menyenaraikan Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis sebagai negeri paling bahagia di Malaysia.
Semua daerah di negeri itu mendapat skor melebihi 80 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021. Tampin, Negeri Sembilan (skor 99.5 peratus) dan Alor Gajah, Melaka (98.17 peratus) pula adalah antara 10 bandar paling bahagia di negara ini.
Antara soalan yang ditanya dalam kaji selidik indeks berkenaan sempena Hari Kebahagiaan Sedunia 2022 pada 22 Mac lalu adalah tahap kesihatan, kehidupan keluarga dan keseronokan ketika di tempat kerja.
Laporan itu sedikit sebanyak membantu kita menambah baik apa yang kurang. Tetapi kita tidak boleh sekadar membacanya. Kita perlu juga meneliti sendiri apakah laporan itu betul-betul menceritakan situasi sebenar.
Indeks bahagia itu adalah dapatan daripada data orang yang tinggal di negeri terbabit sahaja.
Di Perlis, suasananya tidak dinafikan sangat tenang, lebih-lebih lagi kalau datang dari Lembah Klang. Pemandangan sawah padi dan alam semula jadinya memukau. Hilang stres dan rasa tak mahu balik. Begitu juga di Negeri Sembilan.
Lain pula halnya di Melaka. Realitinya bagi orang luar, kesesakan jalan raya di situ sama sahaja seperti di Lembah Klang. Ironinya, jalan sesak selalu membuatkan orang tak bahagia.
Kebahagiaan sukar diukur secara pasti, namun sejak 2012, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerbitkan Laporan Kebahagiaan Dunia setiap tahun.
Dalam laporan terbaharu dua minggu lalu, Finland menduduki tempat pertama lima tahun berturut-turut sebagai negara paling bahagia di dunia. Negara yang menduduki carta 10 teratas selepas Finland ialah Denmark, Iceland, Switzerland, Belanda, Luxembourg, Sweden, Norway, Israel dan New Zealand.
Laporan itu antara lain dinilai berdasarkan tahap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, jangkaan hidup, kemurahan hati, sokongan sosial, kebebasan dan kes rasuah.
SANTAI, CANTIK, BERSIH
Ada orang berasa pelik dan tertanya-tanya bagaimana Finland, sebuah negara di utara Eropah yang terkenal dengan cuaca tidak menentu serta kadar bunuh diri yang tinggi menjadi sebuah negara paling bahagia?
Statistik rasmi tahun 1990 menunjukkan kadar bunuh diri di Finland adalah kedua tertinggi di dunia selepas Hungary. Kadar itu kini khabarnya sudah menurun.
Begitu pun, rakyat Finland terkenal dengan gaya hidup yang santai. Negara itu sangat cantik, tak banyak kes jenayah, segala urusan serba digital dan penduduknya amat menghargai waktu.
Persekitarannya juga bersih dan terjaga sehingga susah untuk melihat sampah di jalanan. Pendek kata, mereka sangat menghormati alam sekitar.
Menurut Inc.com, ada lima perkara penting dalam menentukan indeks kebahagiaan di seluruh dunia.
Pertama, kurang waktu perjalanan ke tempat kerja. Semakin kurang masa perjalanan ke tempat kerja, semakin bahagia individu di sesebuah kawasan.
Mereka yang bergerak menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja pula dikatakan lebih bahagia daripada mereka yang naik kenderaan sendiri.
Kedua, kurang bahagia di kawasan sejuk berbanding kawasan panas. Ketiga, lebih bahagia di kawasan yang banyak kemudahan.
Keempat, kehijauan alam akan menghadirkan kegembiraan. Kajian menunjukkan individu lebih bahagia di kawasan yang lebih banyak kehijauan, kerana itulah orang bandar gemar ke kawasan hijau untuk bercuti.
Kelima, kawasan dengan populasi lebih berpendidikan melaporkan tahap kebahagiaan yang lebih tinggi.
Perspektif bahagia ternyata berbeza, lain orang lain cara mereka memberi makna kebahagiaan. Namun bagi umat Islam, dapat mengejar pahala yang berlipat ganda pada bulan Ramadan ini mungkin perkara paling membahagiakan, tidak kira di ceruk rantau mana pun mereka tinggal.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca