SHAH ALAM – Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) menyatakan pihaknya melakukan tiga perkara bagi memastikan pengendalian makanan dijual dengan betul dan mengelakkan kes keracunan makanan di bazar Ramadan.
Setiausaha Agung PPPKMWP, Sharin Darus berkata, pihaknya akan memastikan peniaga yang mahu menyertai penganjuran bazar Ramadan perlu mendapatkan suntikan pelalian tifoid terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan memohon untuk mendapatkan lesen.
Beliau yang merupakan penganjur Bazar Ramadan Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Uda di Kampung Baru, Kuala Lumpur berkata, pihaknya akan memastikan kebersihan gerai dan cara penyediaan makanan peniaga yang menyertai Bazar Ramadan sentiasa dipantau.
"Setakat ini, saya penganjur di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang (iaitu) bazar yang tertua di Malaysia tidak ada (terima) aduan apa-apa seperti makanan itu basi dan keracunan makanan.
"Belum ada lagi aduan daripada pelanggan yang mengunjungi bazar Ramadan selepas empat hari kita menjalani ibadah puasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Sharin berkata, peniaga yang menyertai bazar Ramadan akan dipantau oleh petugasnya yang berjumlah 10 orang.
"Kami ada 10 orang petugas di bazar tersebut dan akan memantau penyediaan makanan, cara mereka berurusan dengan pelanggan dan kalau ada yang memasak mereka perlu pastikan kawasan itu bersih,” ujarnya.
Mengulas mengenai sekiranya jika ada menerima aduan pelanggan yang keracunan makanan, Sharin berkata, pihaknya akan meminta peniaga terlibat untuk berhentikan jualan.
"Kami akan meminta mereka mereka berhenti berniaga. Ia akan memudaratkan orang lain atau memburukkan keadaan.
"Kita sudah berikrar dengan pihak berwajib iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi memastikan keselamatan pelanggan bukan sahaja jenayah tetapi penyediaan makanan juga,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca