SHAH ALAM - Kes keracunan makanan pada bulan Ramadan tahun ini dibimbangi meningkat berikutan operasi bazar yang semakin rancak dan kehadiran lebih ramai pengunjung susulan negara berada dalam fasa peralihan endemik. Pakar kesihatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kes keracunan makanan pada bulan Ramadan tahun ini dibimbangi meningkat berikutan operasi bazar yang semakin rancak dan kehadiran lebih ramai pengunjung susulan negara berada dalam fasa peralihan endemik.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, beliau menjangkakan kemungkinan kes akan banyak dilaporkan bermula minggu kedua Ramadan ekoran sikap segelintir peniaga yang mengitar semula makanan tidak habis dijual.

DR HANAFIAH

"Kebiasaannya, minggu kedua Ramadan, orang (peniaga) sudah mula kitar semula makanan yang tidak laku dijual dengan menyimpannya sebelum menghangatkannya semula.

"Perbuatan menyimpan dan memanaskan semula makanan itu menyebabkan berlaku jangkitan dan pembiakan bakteria atau kuman dalam makanan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada 3 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan peningkatan kes keracunan makanan sepanjang Ramadan pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Dr Hanafiah menjelaskan, kes keracunan juga berlaku disebabkan persediaan makanan yang terlalu awal.

"Contohnya, makanan disiapkan awal pagi menyebabkan ia disimpan dalam tempoh lama dan berlaku jangkitan kuman pada makanan tersebut sedangkan mereka mula jual pada jam 3 petang.

"Selain itu, sumber air tidak bersih dan bahan mentah yang tidak segar dalam penyediaan makanan akan mempengaruhi tahap kebersihan juadah yang dimasak itu,” ujar beliau.

Akuinya, faktor kebersihan diri peniaga ketika menyedia dan mengendalikan makanan juga boleh menyebabkan keracunan misalnya berkuku panjang serta tidak mencuci tangan dengan bersih selepas menggunakan tandas.

Menu yang paling mudah tercemar seterusnya memberi risiko keracunan kepada pembeli adalah makanan laut terutama yang bercengkerang iaitu ketam, kerang, lala, tiram dan kupang selain sotong, udang, ayam dan daging.

Dr Hanafiah berkata, kelazimannya makanan tercemar bakteria E.coli, Salmonella dan Hepatitis A boleh menyebabkan cirit-birit, sakit perut, muntah dan lebih merisaukan seseorang itu boleh demam hingga dehidrasi.

"Bila keadaan semakin teruk hinggak terjadinya dehidrasi badan, ia mengancam nyawa,” tegas beliau.

Pembeli juga dinasihatkan lebih waspada dengan memilih makanan yang kelihatan segar serta menjadikan perbuatan memanaskan semula makanan yang dibeli dalam ketuhar gelombang mikro atau atas dapur sebagai satu tabiat.

"Peniaga pula dinasihatkan agar jujur dan tidak mengitar semula makanan yang tidak habis kerana tidak sewajarnya makanan itu dijual semula hari berikutnya," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca