SERING kita mendengar artificial intelligence atau kecerdasan buatan (AI) dan face recognition atau pengecaman muka (FR) menjadi intipati utama dalam kaedah penyiasatan polis. Banyak kes dikatakan diselesaikan menerusi AI dan FR. AI juga... Klik di sini untuk terus membaca

SERING kita mendengar artificial intelligence atau kecerdasan buatan (AI) dan face recognition atau pengecaman muka (FR) menjadi intipati utama dalam kaedah penyiasatan polis.

Banyak kes dikatakan diselesaikan menerusi AI dan FR. AI juga menjadi pilihan untuk menyelesaikan masalah banjir di Shah Alam, Selangor khususnya di Taman Sri Muda.

Namun, bukan semua pihak percaya keberkesanan AI dan FR. Majalah Engineering & Technology minggu lalu mendedahkan Jawatankuasa Parlimen Britain mencabar polis kerana penggunaan AI. Jawatankuasa itu percaya ia akan menggalakkan diskriminasi.

Jawatankuasa Keadilan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Britain atau The Lords Justice and Home Affairs committee (LJHA) percaya AI tidak berlandaskan undang-undang kesedaran awam dan kurang sesuai dengan perkembangan semasa.

Penggunaan AI didakwa akan menjadi kuasa penentu, sekali gus menyebabkan kemungkinan berlaku pendakwaan curang terhadap orang awam. Bagaimanapun, parti pembangkang negara itu menegaskan AI mampu membantu kehidupan harian manusia.

Perbalahan itu menarik perhatian penulis yang kini memberi keutamaan besar kepada AI. Kajian penulis mendapati algoritma AI dibangunkan untuk mengesan jenayah. AI boleh mengkategorikan jenayah. Ia juga mampu menyelaraskan sesuatu proses atau kaedah pada pintu keluar masuk sempadan negara itu.

Dalam kes di Britain, LJHA mendesak polis agar lebih telus melaksanakan penyiasatan dan jangan terlalu mempercayai AI. LJHA percaya AI memberi impak buruk kepada kehidupan umum. Kajian penulis mendapati polis berkemungkinan akan dicabar jika tidak mahir menggunakan AI dan FR.

Bagaimana AI diguna dalam sistem FR? Hasil imej menerusi kaedah AI dan teknologi FR menggunakan algoritma AI serta pembelajaran mesin atau machine learning (ML) untuk mengesan wajah manusia. Algoritma bermula dengan mencari mata, diikuti kening, hidung, mulut, lubang hidung dan anak mata.

KELEBIHAN SERTA KEKURANGAN

FR ialah salah satu komponen aplikasi AI. Ia lanjutan kepada pengesahan biometrik yang mampu mengenal pasti dan membuat pengesahan ciri muka manusia dalam imej atau video daripada pangkalan data yang telah tersimpan untuk setiap individu.

Ada lima pilihan sistem resolusi FR paling mudah dan berkesan dalam aplikasi python yang masing-masing mempunyai kelebihan serta kekurangan. Lima kaedah pengesanan muka semasa ialah OpenCV Haar Cascade, Dlib HoG, OpenCV Deep Learning-based, Dlib Deep Learning-based dan Mediapipe Deep Learning-based Face Detection.

Algoritma Pembelajaran Mesin Pengenalan Wajah (ML-FR) pula antara teknologi yang mampu mengenali seseorang berasaskan maklumat wajah manusia dengan menggunakan algoritma ML bagi mencari, mengesan, menyimpan dan menganalisis ciri muka untuk padanan dengan imej individu dalam pangkalan data sedia ada.

Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana AI digunakan dalam teknologi FR? Teknologi FR digunakan secara meluas tanpa disedari manusia. Pengguna telefon pintar menggunakan FR untuk log masuk ke dalam telefon pintar.

FR diasaskan daripada Pembelajaran Mendalam atau Deep Learning (DL). Ia subset ML dan ML itu pula subset AI. AI bergantung kepada kecerdasan pengguna itu sendiri untuk mengendalikan mesin komputer yang digunakan bagi mensimulasi kecerdasan manusia dalam sistem komputer. ML ialah pengaturcaraan algoritma yang ‘belajar’ daripada pengalaman masa lalu, manakala DL penggunaan pelbagai lapisan algoritma ML.

Teknologi itu telah disebut ALLAH SWT dalam surah Al-Mujaadilah ayat [58:11] bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepada mu, berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan untuk mu. Dan apabila dikatakan, berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara mu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat (kelebihan). Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Kesimpulannya, ML yang dibangunkan jurutera komputer sebenarnya banyak mengubah kehidupan masyarakat. Penulis mendesak jurutera Malaysia mengambil peluang bekerja secara langsung dalam sektor teknologi atau terlibat dalam AI atau FR.

* Profesor Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre

Klik di sini untuk terus membaca